Mohamed Khaled dalam Majlis Pelepasan Benih Udang Galah di Sungai Sedili Besar, Kampung Gembut, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Sebanyak 200,000 benih udang galah dilepaskan ke Sungai Sedili Besar, Kampung Gembut di sini sebagai usaha memulihara sumber perikanan sungai serta memperkukuh ekonomi komuniti setempat.

Program berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Tinggi, Jabatan Perikanan Negeri Johor serta komuniti setempat.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyifatkan Sungai Sedili Besar, Kampung Gembut sebagai kawasan berpotensi tinggi dengan ekosistem air tawar yang masih terpelihara.

“Kawasan ini mempunyai sistem sungai yang kaya biodiversiti. Justeru, usaha pemuliharaan seperti ini amat penting bagi memastikan kelestariannya untuk generasi akan datang,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelepasan Benih Udang Galah di Sungai Sedili Besar, Kampung Gembut hari ini.

Beliau berkata, pada penghujung 2025, pihak UMT membawa beberapa induk udang galah dari sungai itu ke hatcheri universiti untuk pembiakan terkawal sebelum berjaya menghasilkan 200,000 benih untuk dilepaskan semula secara berperingkat-peringkat.

Katanya, udang galah merupakan spesies air tawar bernilai komersial tinggi dan mempunyai permintaan kukuh di pasaran.

Jelasnya yang juga Menteri Pertahanan, ini sekali gus menjadikan inisiatif itu berpotensi membantu nelayan sungai serta pengusaha kecil menjana pendapatan tambahan.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, program berkenaan mencerminkan kerjasama erat antara universiti, agensi kerajaan dan komuniti dalam usaha memulihara biodiversiti perairan.

Menurut beliau, UMT sebagai universiti peneraju dalam bidang kelautan dan sumber akuatik telah melaksanakan pelbagai projek pelepasan benih di seluruh negara.

Beliau berkata, ini termasuk di Bukit Mentok (Kemaman), Bagan Lalang (Sepang), Sedili (Kota Tinggi), Merchang Wetland, Sungai Nyatoh (Setiu) serta kawasan pantai berhampiran kampus UMT.

Selain pelepasan benih, program itu turut menampilkan pameran pendidikan berteraskan sumber perikanan dan inovasi bioteknologi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sumber secara lestari.

UMT melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) turut membawa 10 mahasiswa Skuad Lasykar Alam@UMT untuk berkongsi projek kelestarian bersama-sama komuniti.

Ini termasuk penghasilan baja kompos daripada sisa makanan, bio racun untuk sistem akuaponik serta penggunaan mikroorganisma berkesan (EM) dalam pertanian dan penternakan.

Penganjuran program tersebut dilihat sebagai model kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan komuniti dalam mengurus sumber alam secara mampan.

Selain memperkukuh populasi udang galah, inisiatif itu juga berpotensi menjadikan sungai tersebut sebagai lokasi tumpuan ekopelancongan, pendidikan alam sekitar serta pemuliharaan biodiversiti sungai pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast