Mohamed Khaled Nordin dalam Majlis Pelepasan Benih Udang Galah di Sungai Gembut, Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor hari ini.

KOTA TINGGI – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu merupakan punca Melayu berpecah adalah naratif yang dimainkan berulang-ulang.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, isu tersebut tidak perlu diulas kerana tuduhan tersebut sudah berulang kali dilemparkan bekas Perdana Menteri berkenaan.

“Dia (Tun M) dari dulu memang kata macam-macam, jadi tak perlu nak ulas. Tepuk sebelah tangan tak berbunyi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelepasan Benih Udang Galah di Sungai Gembut, Tanjung Sedeli di sini, hari ini.

Rabu lalu, Dr Mahathir menyifatkan perubahan perjuangan UMNO sebagai antara faktor yang membawa kepada perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Menurut bekas Presiden UMNO itu, masih ramai kekal dalam UMNO tanpa mengambil kira perubahan arah perjuangan parti berkenaan.

“Ramai yang terus berada dalam UMNO tidak ambil kira perubahan perjuangan UMNO. Dari parti kebangsaan, UMNO sudah jadi parti untuk mendapat kekayaan,” dakwa Dr Mahathir.

Sementara itu, ditanya berkenaan permohonan bekas pemimpin UMNO untuk menyertai Rumah Bangsa selain Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin, beliau berkata, perkara itu akan diketahui dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 17 April ini.

Mohamed Khaled berkata, beliau tidak mahu mendahului MKT kerana jumlah sebenar termasuk nama besar lain belum diketahui sepenuhnya dan agenda lain yang akan dibincangkan juga akan diketahui nanti. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast