KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki tempatan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan semalam di Jalan Lebuh Puteri, Bandar Puteri, Puchong.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) berkata, selepas ujian pernafasan bacaan alkohol pada kedua-dua lelaki tersebut didapati melebihi had yang ditetapkan.
“Kedua-dua suspek telah dibawa ke balai untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu menurut JSPT, operasi tersebut diadakan oleh Unit Risikan jabatan itu dari Bukit Aman dan JSPT Selangor sehingga 5 pagi.
Tambahnya, ketika operasi dijalankan sebanyak lima saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik sepanjang operasi dijalankan.
“JSPT menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras pemanduan di bawah pengaruh alkohol demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















