KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan esok bagi sebutan kes tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar atas pertuduhan bersubahat menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen.
Sementara itu, esok juga ditetapkan sebutan kes suami pelakon Heliza Helmi, Datuk Mahadi Badrul Zaman yang menghadapi pertuduhan berkaitan urusiaga sekuriti.
Kedua-dua kes dijadual disebut di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mohd. Daud, 62, yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (BNM), didakwa bersubahat dengan bertindak sebagai wakil kepada Energy Eco Berhad di antara 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023 di C6-1, Jalan Reef 1/2, Pusat Perniagaan Reef, Rawang dekat sini.
Menurut pertuduhan, Energy Eco Berhad didakwa bersubahat dengan AUF MBZ Consortium PLT menjalankan urusniaga dalam aktiviti terkawal melibatkan sekuriti walhal AUF MBZ bukan pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal dan bukan syarikat berdaftar bagi melakukan aktiviti itu.
Mohd. Daud didakwa mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan dibaca bersama perenggan 370(c) dan subseksyen 367(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta dan penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, Mahadi, 43, selaku wakil AUF MBZ, didakwa menjalankan urusniaga sekuriti walhal syarikat itu tidak mempunyai lesen melakukannya di antara 3 September 2021 dan 15 Februari 2024 di No. 70, Bayrocks Garden Waterfront Villa, Sunway South Quay, Subang Jaya dekat sini.
Sementara itu, di hadapan Hakim Azrul Darus, Mahadi turut didakwa atas satu pertuduhan berasingan melakukan kesalahan serupa di tempat sama pada 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023.
Ahli perniagaan itu didakwa subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama subseksyen 367(1) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah subseksyen 58(4) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman serupa.
Dalam pada itu, di hadapan Norma turut ditetapkan sebutan kes seorang ahli perniagaan, Muhamad Iqbal Mohamad, 47, yang didakwa bersubahat dengan AUF MBZ melakukan kesalahan sama di antara 3 September 2021 dan 15 Februari 2024 di B-2-1, Tingkat 1, Putra Walk, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan di sini.
Menurut pertuduhan, Muhamad Iqbal selaku pengarah QEW Group Berhad bersubahat dengan AUF MBZ melakukan urusniaga dalam sekuriti tanpa lesen mengikut seksyen sama.
Ketiga-tiganya didakwa pada 23 Februari lalu. – MalaysiaGazette
















