Ketua Pegawai Eksekutif TYMBA Education Group, Airil Razali (empat kiri) mengiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika menyaksikan arca seni yang dipamerkan untuk pengenalan subjek seni dan kebudayaan yang akan ditawarkan Sekolah Antarabangsa Kuantan (ISK) sempena Hari Terbuka ISK, hari ini.

KUANTAN – Landskap pendidikan di Pahang menerima suntikan besar apabila International School of Kuantan (ISK) melancarkan transformasi menyeluruh dengan menggabungkan aliran akademik dan vokasional dalam satu ekosistem bersepadu yang disifatkan antara paling progresif di negara ini.

Pengasas Tymba Education Group (TYMBA), Airil Razali berkata, transformasi tersebut bukan sekadar rombakan kurikulum, sebaliknya satu anjakan paradigma dalam melahirkan pelajar yang bersedia menghadapi realiti dunia sebenar.

Ujarnya, melalui rangkaian TYMBA, pelajar ISK kini mempunyai akses luas kepada laluan pendidikan global termasuk A-Level, program asas, BTEC serta kelayakan profesional seperti Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan ICAEW.

“Dunia hari ini bergerak pantas dengan ketidaktentuan ekonomi dan perubahan teknologi. Pendidikan tidak boleh lagi statik.

“Kita mahu pelajar bukan sahaja lulus peperiksaan, tetapi mampu berfikir kritikal, mahir secara praktikal dan bersedia menembusi pasaran global,” katanya pada majlis Hari Terbuka dan Sambutan Aidilfitri ISK di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Tegku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama pelajar dan warga sekolah.

Lebih signifikan, langkah berani itu dipacu menerusi kerjasama strategik bersama TYMBA yang membuka lembaran baharu ke arah menjadikan ISK sebagai hab pendidikan bertaraf antarabangsa yang lebih dinamik dan berdaya saing.

Menurut Airil, antara perubahan utama ialah peralihan daripada sistem American High School Diploma kepada silibus IGCSE yang lebih diiktiraf di peringkat antarabangsa, selain integrasi program BTEC (Business and Technology Education Council) bersama Pearson.

“Gabungan ini menjadikan ISK antara pelopor di Malaysia yang menyatukan pendidikan akademik dan kemahiran industri dalam satu laluan.

“Pelajar bukan sekadar belajar teori, tetapi terlibat dengan projek sebenar, latihan berasaskan industri dan pembangunan kemahiran yang terus relevan dengan dunia pekerjaan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Airil dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bersama TYMBA–ISK bagi memacu hala tuju strategik transformasi tersebut secara holistik, tersusun dan berimpak tinggi.

Tidak terhenti di situ, katanya, ISK turut memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman melalui kerjasama dengan Muzium Pahang dan ATMA Contemporary, sekali gus membuka ruang kepada pelajar meneroka seni, sejarah dan kreativiti secara lebih mendalam.

Dengan gabungan legasi lebih tiga dekad ISK dan rangkaian global TYMBA, inisiatif itu, jelas beliau, dilihat bukan sekadar pembaharuan, tetapi satu lonjakan besar dalam membentuk generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang di bilik darjah, malah mampu bersaing di pentas dunia.

Menurutnya, ia sekali gus menjadikan Pahang yang kini dilihat semakin hampir untuk muncul sebagai antara hab pendidikan premium negara.

“Pendekatan ini membolehkan pelajar merancang perjalanan pendidikan mereka secara lebih tersusun dan strategik, bermula dari peringkat sekolah sehingga ke kelayakan profesional antarabangsa, sekali gus menyokong aspirasi menjadikan Pahang sebagai antara peneraju kecemerlangan pendidikan di Malaysia.

“Dalam usaha memperkukuhkan pembelajaran berorientasikan pengalaman sebenar, ISK juga menjalinkan kerjasama dengan institusi seperti Muzium Pahang dan ATMA Contemporary bagi menyediakan program yang lebih interaktif dan berimpak tinggi dalam bidang seni, sejarah serta pemikiran kreatif,” katanya.

Menurutnya, pendekatan tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk mengalami pembelajaran yang lebih holistik dengan menggabungkan elemen kreativiti, pemikiran kritikal dan kefahaman budaya dalam konteks dunia sebenar.

Ujar Airi,l ISK melihat kerjasama itu sebagai hubungan strategik jangka panjang yang berpotensi besar dalam memperkukuhkan kedudukan institusi sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf antarabangsa.

“Gabungan legasi ISK bersama rangkaian global TYMBA diyakini mampu memperluaskan peluang pelajar ke peringkat antarabangsa, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuhkan kedudukan Pahang sebagai hab pendidikan berkualiti.

“Secara keseluruhannya, kerjasama ini bukan sekadar penambahbaikan kurikulum, tetapi merupakan usaha menyeluruh untuk membina ekosistem pendidikan yang mampan, relevan dan mampu melahirkan generasi pelajar yang berdaya saing di peringkat global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast