ISKANDAR PUTERI – Pembinaan rangka struktur fizikal bangunan pertama pusat data sedia AI dan bersambungan tinggi (hyperconnected) milik TM Nxera, usaha sama antara Telekom Malaysia (TM) dan Nxera, cabang pusat data serantau Singtel Digital InfraCo di Iskandar Puteri, di sini telah selesai.
Perkembangan terbaharu ini merupakan satu langkah penting dalam fasa pembinaan serta integrasi system bagi projek pembangunan strategik yang dijangka memacu fasa pertumbuhan berteraskan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia serta mengukuhkan peranan negara sebagai hab digital serantau.
TM Nxera berkata, sejak majlis pecah tanah pada Julai 2024 dan pemeteraian perjanjian bekalan elektrik berbilang tahun dengan Tenaga Nasional bagi kapasiti kuasa sebanyak 280MW awal tahun ini, pusat data berkenaan kini memasuki fasa kemasukan pelanggan serta permulaan operasi komersial.
Ketua Pegawai Eksekutif TM Nxera, Mahathir Said berkata, progres itu diraikan mencerminkan keupayaan pelaksanaan kukuh untuk menyiapkan bangunan pertama kampus ini, dengan kuasa yang boleh diskalakan sehingga 200MW, menjadikannya antara kampus sedia AI terbesar di Malaysia.
“Dengan sasaran Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) ≤1.30 pada beban penuh, penggunaan teknologi penyejukan cecair termaju serta integrasi tenaga boleh diperbaharui, pusat data ini dioptimumkan untuk menyokong keperluan pengkomputeran berprestasi tinggi dan beban kerja AI berkependaman ultra-rendah, sekali gus membolehkan perusahaan melaksanakan AI pada skala besar.
“Disokong oleh rangkaian gentian darat rentas sempadan dan kesalinghubungan kabel dasar laut yang meluas milik TM dan Singtel, kampus ini direka bentuk untuk menyokong hyperscaler, inovator AI serta perusahaan yang mencari penyelesaian pusat data yang berdaya tahan, berprestasi tinggi dan mampan.
“Dengan minat serta permintaan kukuh yang telah diterima daripada hyperscaler dan perusahaan, kami kini memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur digital yang boleh diskalakan dan bersedia untuk masa hadapan yang menyumbang kepada transformasi digital merentas industri serta memupuk ekosistem digital yang dinamik,” tambah beliau.
Dengan terlaksananya kerja-kerja penstrukturan, TM Nxera akan meneruskan pemasangan mekanikal dan elektrikal, integrasi sistem serta proses pentauliahan.
Kampus ini memulakan fasa pertama operasi komersialnya pada separuh kedua tahun 2026, membolehkan pelanggan merancang pelaksanaan awan dan AI dengan yakin, ujar TM Nxera. – MalaysiaGazette















