KUALA LUMPUR – PMB Investment Berhad (PMB Investment), sebuah syarikat pengurusan dana Islam di bawah Pelaburan MARA Berhad, mengumumkan agihan pendapatan bagi dua dana, PMB Shariah Dividend Fund sebanyak 2.39 sen seunit dan PMB Shariah Index Fund 2.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Menurutnya, jumlah agihan PMB Shariah Dividend Fund adalah sebanyak RM1,344,141.09.
Nilai aset bersih (NAB) seunit sebelum agihan ialah RM0.2706, dan diselaraskan kepada RM0.2467 selepas agihan.
Berdasarkan NAB pada 31 Mac 2026, ini memberikan hasil agihan sebanyak 10.03%.
Dana ini terus menyerlah dengan jumlah pulangan sebanyak 11.54% bagi tempoh yang sama.
“Dengan hasil agihan dua digit dan pulangan keseluruhan yang kukuh, PMB Shariah Dividend Fund terus menonjol sebagai pilihan jana pendapatan yang menarik dan menawarkan alternatif kepada instrumen simpanan konvensional dan deposit tetap,” kata PMB Investment.
Tambahnya, dana ini juga memperuntukkan antara 70% hingga 99.5% daripada NAB kepada ekuiti dan sekuriti berkaitan ekuiti yang patuh syariah.
Baki selebihnya dilaburkan secara berhemah ke dalam instrumen pasaran wang Islam, sukuk, deposit Islam, dan aset lain yang patuh syariah dengan objektif jangka panjang untuk mengatasi prestasi produk pendapatan tetap konvensional.
Sementara itu, agihan PMB Shariah Index Fund pula sebanyak RM1,155,844.50.
NAB seunit sebelum agihan ialah RM0.5585, diselaraskan kepada RM0.5335 selepas agihan, mencerminkan hasil agihan sebanyak 4.89% bagi tahun kewangan tersebut, dengan jumlah pulangan sebanyak 9.17% bagi tempoh yang sama.
Kedua-dua agihan dana ini telah dikreditkan pada 31 Mac 2026, dengan tarikh pelaburan semula ditetapkan 1 April 2026. – MalaysiaGazette















