Tangkap layar dari video yang tular

GEORGE TOWN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meneliti video tular yang memaparkan seorang pemandu bas didakwa memandu dalam keadaan lalok atau mabuk sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ia susulan setiap isu yang membabitkan elemen jenayah memerlukan siasatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Yang ini (video tular pemandu bas mabuk) saya kena semak dulu. Selalunya kalau ada isu-isu seperti ini (elemen jenayah) kita akan jalankan siasatan bersama dengan PDRM.

“Ada kes yang akan diambil alih oleh pihak PDRM terlebih dahulu kerana kes-kes yang melibatkan kes polis, kita perlu serahkan dahulu kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke-80 di The Top Komtar di sini, hari ini.

Datuk Aedy Fadly Ramli.

Menurutnya, JPJ hanya akan mengambil tindakan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan yang tidak melibatkan elemen jenayah atau kemalangan.

“Kes-kes yang JPJ boleh ambil adalah yang berkaitan dengan Akta Pengangkutan Jalan yang tidak melibatkan elemen jenayah, kemalangan dan sebagainya, JPJ boleh tengok.

“Tapi kita ada konsensus bersama dengan PDRM yang mana yang kita nak siasat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Polis buru pemandu bas disyaki mabuk, pandu sebelah tangan

Media hari ini melaporkan, polis sedang memburu seorang pemandu bas yang tular videonya memandu menggunakan sebelah tangan dan didakwa dalam keadaan mabuk ketika kejadian dirakam seorang penumpang.

Video berdurasi satu minit 20 saat itu menunjukkan pemandu berkenaan memandu sambil bersandar ke belakang dan hanya memegang stereng dengan sebelah tangan ketika bas sedang bergerak pada waktu malam.

Kes berkenaan kini disiasat pihak polis bagi mengenal pasti pemandu terlibat serta tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast