KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pantau Masyarakat Kuala Lumpur (PPMKL) mengecam kelewatan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam merangka pelan menyeluruh bagi membantu rakyat dan komuniti perniagaan mendepani krisis semasa.
PPMKL dalam satu kenyataan berkata, apa yang berlaku hari ini bukan sekadar kelewatan, tetapi kecuaian yang jelas dalam memahami realiti di lapangan.
Menurutnya, ketika rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan peniaga kecil semakin terhimpit, PPPK masih gagal mengemukakan pelan yang konkrit dan berkesan.
“Ini mencerminkan kelemahan serius dari segi kecekapan, keutamaan dan rasa tanggungjawab,” katanya hari ini.
Lebih membimbangkan, tambah PPMKL, kelembapan bertindak itu secara langsung mencalar imej dan kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim tatkala Perdana Menteri berusaha memimpin negara dalam keadaan krisis dengan pendekatan yang tegas dan proaktif.
Dakwanya, kegagalan PPPK untuk bergerak seiring hanya menonjolkan ketidakselarasan dalam jentera kerajaan.
“Alangkah baik jika PPPK mencontohi Kerajaan Negeri Selangor yang bertindak segera mengumumkan pakej pengukuhan daya tahan membuktikan bahawa tindakan pantas adalah sesuatu yang mampu dilaksanakan,” katanya.
Tambahnya, kelewatan itu juga hanya menampakkan ketiadaan “sense of urgency” PPPK dalam menghadapi krisis.
“Kami dengan tegas menggesa agar kepimpinan PPPK bertanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian ini dan segera membentangkan pelan tindakan yang jelas, bersasar dan boleh dilaksanakan tanpa sebarang lengah.
“Jika ketidakmampuan ini berterusan, maka persoalan tentang keupayaan dan kesesuaian mereka untuk terus memegang tanggungjawab ini wajar dibangkitkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















