YAB Perdana Menteri juga Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa Konvensyen KEADILAN bersama pimpinan dan anggota KEADILAN Kelantan, di Kota Bharu, Kelantan. 18 April 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

KOTA BHARU – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan kepimpinan pada setiap peringkat supaya tidak leka dan membuang masa dengan perbalahan remeh, sebaliknya fokus pada tanggungjawab mereka kepada rakyat.

Berucap pada Mini Konvensyen Keadilan Kelantan 2026 di sini, beliau turut menyeru jentera parti supaya merapatkan barisan dan bersiap sedia bagi mendepani cabaran pilihan raya akan datang.

“Kita kena bersiap dari sekarang untuk berdepan dengan pilihan raya umum. Ikhtiar dan kerja perlu seiring daripada bertelingkah hal remeh-temeh dan jangan fikir masalah kerana ia tidak akan selesai,” kata beliau.

Perdana Menteri secara terbuka menyelar sikap segelintir pemimpin parti yang dilihat hanya bersemangat dan lantang ketika berkempen merebut jawatan, namun bertukar culas dalam melaksanakan tugas atau malas menghadiri mesyuarat selepas meraih kemenangan.

“Siapa yang rasa letih, beritahu, minta cuti. Parti ini bukan parti hak mana-mana orang. Parti ini hak rakyat, hak mereka yang mahu bekerja dan berjuang angkat nasib rakyat,” kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar berkata peruntukan akan disalurkan berdasarkan prestasi cabang, dengan keutamaan diberikan kepada cabang yang aktif dan berjaya menambah keahlian.

“Cabang yang tiada pertambahan ahli, tiada kegiatan, kita tidak akan beri peruntukan,” kata beliau.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast