Dr Dzulkefly merakam kenangan dalam Majlis Jamuan Raya Parlimen Sri Gading di Dewan Haji Aminolhuda, Parit Yaani, Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Perbincangan kerjasama politik untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Melaka perlu dipercepatkan bagi memastikan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri dalam Kerajaan Perpaduan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ketika ini pelbagai pihak sudah melakukan pelbagai andaian kerana mandat untuk PRN dua negeri berkenaan akan berakhir tidak lama lagi.

“Saya tidak mempunyai crystal ball untuk meramalkan masa depan namun sebarang keputusan yang dibuat kelak adalah yang terbaik untuk negeri dan negara.

“Saya juga bersetuju perbincangan perlu dipercepatkan supaya semua pihak mempunyai kejelasan dalam menghadapi cabaran pilihan raya. Perbincangan di peringkat nasional memang perlu dan sudah pun dimulakan.

“Harusnya perbincangan itu diadakan segera supaya kita dapat bersedia dengan lebih jelas untuk menghadapi cabaran pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Jamuan Raya Parlimen Sri Gading di Dewan Haji Aminolhuda, Parit Yaani di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, kestabilan politik dan kerjasama sedia ada perlu diberi keutamaan berbanding kepentingan politik sempit bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara tidak terjejas.

Menteri Kesihatan itu menambah, parti politik perlu berunding namun apa yang penting sebarang keputusan nanti perlu terbaik untuk negeri serta negara.

“Daripada perspektif Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri, saya yakin jika kerjasama ini dikekalkan, tidak ada mana-mana parti pembangkang yang mampu mencabar.

“Ini kerana kita mempunyai gandingan kerja yang baik, prestasi ekonomi yang stabil, pelaburan asing dan domestik yang terus meningkat, inflasi yang terkawal serta nilai mata wang yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, keadaan ekonomi global yang tidak menentu ketika ini juga perlu diambilkira sebelum sebarang keputusan berkaitan pilihan raya dibuat.

Ahli Parlimen Sri Gading itu berkata, konflik luar serta peningkatan kos tenaga memberi kesan kepada perbelanjaan kerajaan termasuk subsidi yang meningkat ketara.

“Dalam suasana ekonomi yang mencabar, kestabilan politik amat penting supaya fokus dapat diberikan kepada pembangunan negara dan kebajikan rakyat,” katanya yang juga Pengerusi Amanah Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast