KUALA LUMPUR – Kecekalan dua bekas penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berjaya menawan puncak tertinggi dunia sedekad lalu kini diangkat sebagai inspirasi nasional menerusi pelancaran Program Dekad Legasi UTM Everest 2026.
Detik bersejarah itu akan diraikan melalui Sambutan Sedekad Misi UTM Everest 2016 yang dijadualkan berlangsung di Tibet, China, bermula 3 hingga 13 Jun ini.
Program anjuran Persatuan Alumni UTM (PAUTM) itu bertujuan menghidupkan semula naratif perjuangan anak muda tempatan yang pernah mengharumkan nama universiti dan negara di persada global.
Sambutan itu diadakan sempena pelancaran Program Dekad Legasi UTM Everest 2026 yang akan melalui laluan mencabar di Tibet, sekali gus mengimbau kembali detik bersejarah pendakian tersebut.
Dua pendaki tersohor, Farul Aidib Mohamad Yusoff, 32, dan Azim Afif Ishak, 37, masing-masing daripada jurusan Pengurusan Teknologi dan Sains Komputer, terus diangkat menjadi ikon keberanian generasi muda.
Mantan Chef de Mission Misi UTM Everest 2016, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor, berkata sambutan sedekad itu bukan sekadar meraikan kejayaan, tetapi menjadi lambang semangat juang alumni dalam meletakkan nama UTM di pentas dunia
“Kecekalan mereka adalah teladan terbaik buat pelajar universiti dan golongan muda. Ia membuktikan bahawa kejayaan sebenar menuntut pengorbanan dan keberanian di medan cabaran yang nyata,” jelas beliau.
Meskipun berdepan kegagalan dalam percubaan pertama pada 2014 dan 2015 susulan tragedi gempa bumi di Nepal, mereka bangkit membuktikan kemampuan pada tahun berikutnya melalui laluan mencabar di Tibet (North Face) – antara laluan paling mencabar dan ketika itu belum pernah ditawan pendaki Malaysia.
Sementara itu, Presiden PAUTM, Datuk Mohamad Khairy Ambran, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil pengorbanan besar yang bermula sejak 2011 melalui usaha mengumpul dana serta latihan intensif.
Katanya, perjalanan mereka turut diuji tragedi runtuhan salji pada 2014 yang mengorbankan 16 sherpa, namun cabaran itu hanya menguatkan tekad pasukan untuk meneruskan misi.
Ekspedisi istimewa sempena dekad itu akan sekali lagi diketuai oleh Salleh sebagai simbol kesinambungan legasi serta inspirasi kepada generasi baharu.
Selain pendakian, kisah perjuangan pasukan turut akan diabadikan menerusi penerbitan mini dokumentari bertajuk The Unforeseen, di samping penghasilan komik dan animasi legasi bagi mendekati Generasi Z.
“Inisiatif ini diharap dapat menyemarakkan semangat ‘Malaysia Boleh’ serta menggalakkan golongan muda mengamalkan gaya hidup sihat dan membina ketahanan mental,” katanya. – MalaysiaGazette
















