JOHOR BAHRU – Sokongan orang muda terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kini semakin positif dan memberangsangkan khususnya dalam memperkukuh landskap politik negeri ini.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pulai, Syed Mohd Hafiz Syed Hasan berkata, keyakinan tersebut didorong pendekatan kepimpinan lebih dekat dengan anak muda dan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Kira-kira 80 peratus golongan muda kini dilihat menyokong Barisan Nasional selari dengan usaha berterusan kerajaan negeri dalam menyediakan bantuan dan peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia.
“Pendekatan yang dibawa Menteri Besar Johor sebagai seorang pemimpin muda memberi kesan besar kepada penerimaan generasi baharu. Mereka melihat kepimpinan ini lebih memahami keperluan semasa dan aspirasi anak muda,” katanya.
Syed Mohd Hafiz berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program ‘Yok Tengok Bola’ anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas bersama-sama Pemuda UMNO Bahagian Pulai di sebuah restoran di Kempas di sini malam tadi.
Tambahnya, pelbagai bantuan dan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri termasuk peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi setempat serta sokongan kepada usahawan muda memberi impak positif kepada persepsi golongan itu terhadap kepimpinan sedia ada.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, sokongan itu bukan sahaja tertumpu kepada golongan muda malah turut merangkumi pelbagai peringkat umur yang melihat kestabilan dan pembangunan Johor sebagai keutamaan.
“Ini menunjukkan bahawa pendekatan inklusif yang diambil kerajaan negeri berjaya menyatukan pelbagai kelompok masyarakat dalam menyokong agenda pembangunan negeri,” katanya.
Program itu turut menjadi platform mendekati masyarakat setempat serta mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, khususnya golongan belia yang dilihat semakin aktif dalam mengikuti perkembangan semasa politik negeri.- MalaysiaGazette
















