Penduduk menikmati pelbagai juadah yang disediakan sempena sambutan Aidilfitri 20206,

Bandar Baru Bangi – Berkonsepkan mendidik penduduk agar prihatin dengan kelestarian alam sekitar, majlis Aidilfitri penduduk 7/3, Seksyen 7 berlangsung meriah menutup Syawal 1447H, semalam.

Lebih 500 penduduk yang hadir digalakkan membawa pinggan, cawan dan sudu sendiri bagi mengelakkan penggunaan terlalu banyak pinggan pakai buang.

Pengerusi persatuan penduduk kawasan berkenaan, Faisal Riza Abdul Rahim berkata, inisiatif itu diambil dalam usaha mengelakkan pembaziran dan mengajak semua memikirkan mengenai alam.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk 7/3, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi  yang menjayakan sambutan Aidilfitri 2026.

“Setiap kali musim perayaan, timbunan pinggan dan cawan plastik banyak dan ini adalah antara usaha untuk mengurangkan masalah itu,” katanya.

Menurutnya, penduduk yang membawa pinggan sendiri diberi hadiah bagi menghargai sokongan mereka.

Majlis tahunan yang dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan itu turut menghargai warga emas berusia 70 tahun ke atas dengan pemberian duit raya.

“Pengalaman dan sumbangan mereka kepada penduduk kawasan ini sangat dihargai,” katanya.

ADUN Sungai Ramal, Shafie Ngah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas yang merupakan penduduk 7/3.

Sambutan Aidilfitri  juga diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal, Shafie Ngah yang menyampaikan duit raya kepada warga emas.

Penduduk yang bakal menunaikan haji tahun ini juga turut diraikan.

Pertunjukan bunga api hasil sumbangan penduduk memeriahkan majlis.

Faisal berkata, sambutan Aidilfitri memang menjadi tempat penduduk beramah mesra mengeratkan ukhwah.

Pengerusi Persatuan Penduduk 7/3, Faisal Riza Abdul Rahim beramah mesra dengan hadirin sambutan Aidilfitri 7/3 Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor,

“Walaupun tinggal di kawasan sama tetapi kesibukan hidup membuatkan ada yang tidak dapat bertemu muka. Jadi majlis ini lah tempatnya,” katanya.

Beliau berharap kerjasama yang diberikan penduduk dalam menjayakan aktiviti persatuan diteruskan bagi melahirkan masyarakat yang mementingkan hubungan kejiranan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast