Presiden Parti Pribumi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Silaturrahmi Aidilfitri Gombak di Orchard Villa, Gombak, Selangor. Foto SADIQ SANI, 19 APRIL 2026.

GOMBAK –  Cadangan mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor terus mencetuskan polemik, dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan motif sebenar di sebalik gesaan itu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata, cadangan berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah menimbulkan persepsi kerajaan cuba mengelak daripada berdepan reaksi pengundi.

Menurutnya, darurat tidak boleh dijadikan alat politik semata-mata untuk menangguhkan proses demokrasi, apatah lagi ketika tiada krisis kesihatan seperti pandemik sebelum ini.

“Dulu waktu COVID-19, darurat diisytiharkan kerana faktor kesihatan. Tetapi sekarang, apa sebabnya mahu tangguh pilihan raya?” katanya pada sidang media selepas Majlis Silaturrahim Aidilfitri Bersatu Gombak, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Kota Melaka merangkap Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong yang menggesa kerajaan Melaka memohon pengisytiharan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong bagi menangguhkan PRN negeri itu.

Cadangan tersebut dikaitkan dengan tekanan kos sara hidup dan isu kenaikan harga bahan api yang sedang dihadapi rakyat.

Namun, Muhyiddin berpendapat alasan itu tidak mencukupi untuk menangguhkan pilihan raya, sebaliknya menganggap ia berpotensi disalah guna bagi kepentingan politik.

“Kalau ada yang kata pilihan raya sekarang akan menyebabkan kerajaan kalah kerana rakyat masih marah, itu hanya menguatkan lagi tanggapan bahawa darurat ini diminta atas sebab politik,” katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan akan membawa usul ke Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagi menangguhkan PRN Johor dan Melaka.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menegaskan Perikatan Nasional tidak melihat keperluan untuk menangguhkan pilihan raya dan sudah membuat persiapan awal di semua peringkat.

Katanya, jentera pilihan raya PN telah digerakkan termasuk pelantikan pengarah pilihan raya negeri sebagai persediaan menghadapi PRN pada bila-bila masa.

“Kita bersedia. Tidak perlu darurat untuk tangguh pilihan raya. Ini soal menghormati proses demokrasi,” katanya.

Bekas perdana menteri itu turut mengingatkan bahawa penggunaan darurat tanpa asas kukuh boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi negara.

“Jika darurat digunakan untuk tujuan politik, ia sesuatu yang tidak wajar dan perlu ditolak,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast