KUALA LUMPUR –  Yayasan Sime Darby (YSD) membuka pendaftaran Sime Darby Young Innovators Challenge (SDYIC) 2026 di seluruh negara dengan penekanan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi menyelesaikan isu komuniti.

Program STEM itu menyasarkan penyertaan 3,000 pelajar daripada 400 sekolah menengah, termasuk sekurang-kurangnya 100 sekolah luar bandar, selain memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus penyertaan melibatkan pelajar perempuan.

Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Dr Yatela Zainal Abidin berkata, SDYIC terus menjadi platform untuk membina keyakinan pelajar serta mengasah keupayaan mereka berfikir di luar bilik darjah.

“Tumpuan kepada AI tahun ini bukan sahaja melengkapkan pelajar dengan kemahiran masa hadapan, tetapi memastikan inovasi yang dihasilkan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, YSD mahu inovasi dilihat sebagai alat untuk menambah baik kehidupan seharian, bukan sekadar pendekatan teknikal semata-mata.

Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Dr Yatela Zainal Abidin.

Bertemakan ‘Help a Cause, Change the World: Using AI for Social Good’, edisi kali ini tampil dengan format baharu, termasuk pembentangan idea di National Innovation Summit yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 28 September ini dalam bentuk hackathon.

Difahamkan program itu turut melibatkan latihan kepada 600 guru dan pelajar universiti bagi memperkukuh sokongan kepada pasukan yang bertanding.

Berbeza dengan edisi sebelum ini, SDYIC 2026 mengintegrasikan elemen AI dalam pembelajaran serta memperkenalkan Mentor Development Programme bagi menggantikan model Train-the-Trainers.

Peserta juga akan dibekalkan Edge Computing Kits bagi membolehkan penerokaan projek AI dan berasaskan data secara lebih praktikal.

SDYIC 2026 dilaksanakan dengan kerjasama rakan projek, Chumbaka, bagi memperkukuh reka bentuk serta pelaksanaan program.

Program itu akan berakhir dengan National Innovation Summit selama lima hari, di mana pasukan terbaik akan membangunkan penyelesaian berasaskan cabaran dunia sebenar, selain peluang mendapatkan YSD Innovation Grants dan STEM Aspiration Grants.

Sejak diperkenalkan pada 2016, SDYIC telah memberi manfaat kepada lebih 29,000 pelajar, guru dan komuniti melalui pelbagai inisiatif inovasi dan pembelajaran STEM di seluruh negara.

Pendaftaran kini dibuka dan pelajar sekolah menengah yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta mendaftar melalui laman web rasmi program. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast