Kho Teck Wan

KUALA LUMPUR – Kenyataan ‘Kasi DAP Telur’ oleh Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dalam Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) Ahad lalu, tidak seharusnya dipolemikkan secara berlebihan.

Sebaliknya, Pengerusi Seksyen Wanita Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kho Teck Wan berkata, ia perlu dilihat dalam konteks dalaman parti sebagai usaha membakar semangat ahli.

Ujar beliau, tindakan pemimpin DAP termasuk sayap pemuda, DAPSY yang pantas melabel kenyataan tersebut sebagai angkuh adalah keterlaluan dan mencerminkan sikap hipokrit.

“Namun, apabila pendekatan sama digunakan oleh pihak lain, ia terus dikecam seolah-olah menyalahi prinsip demokrasi.

“Ini jelas menunjukkan wujudnya standard berganda dalam retorik politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini seperti dilaporkan portal Utusan Borneo.

Teck Wan turut menolak dakwaan pemimpin DAP bahawa kenyataan tersebut boleh ‘memusnahkan demokrasi di Sarawak’, sambil menyifatkan naratif itu sebagai mengelirukan dan bersifat kepentingan sendiri.

Tegasnya, kenyataan sedemikian seolah-olah memperkecilkan kematangan politik rakyat negeri itu dan menggambarkan hanya DAP mampu memainkan peranan semak dan imbang.

“Adakah benar hanya DAP mampu menjadi pengimbang kerajaan?

“Parti-parti tempatan Sarawak juga mempunyai keupayaan dan pemahaman mendalam terhadap realiti setempat untuk memainkan peranan tersebut dengan berkesan,” ujarnya.

Teck Wan turut mempersoalkan sumbangan DAP terhadap pembangunan negeri dengan mendakwa parti itu lebih cenderung mengkritik berbanding menyumbang kepada usaha memperkukuh perpaduan dan kemajuan Sarawak.

Sebagai contoh, katanya, DAP sebelum ini menentang pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST) lima peratus ke atas produk petroleum pada 2018.

Sejak Januari 2019, ujarnya, dasar tersebut telah berjaya memperkukuh kedudukan kewangan Sarawak dengan ketara, termasuk menjana kira-kira RM28.5 bilion hasil negeri setakat Oktober 2025.

Hasil itu, menurut beliau, membantu meningkatkan kebebasan fiskal negeri serta menyokong pelbagai inisiatif pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Sekiranya kerajaan negeri mengikut pendirian DAP ketika itu, Sarawak mungkin terlepas peluang penting untuk mengukuhkan sumber kewangan yang kini dimanfaatkan untuk rakyat.

“Perkara ini termasuk bantuan kesihatan warga emas, SKAS dan pendidikan tinggi percuma,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sarawak menilai semula peranan dan keberkesanan DAP sebagai parti pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) serta menimbang sama ada pendekatan parti itu benar-benar memenuhi kepentingan jangka panjang negeri ini.

“Demokrasi tidak ditentukan oleh satu parti sahaja tetapi oleh kekuatan, tanggungjawab dan kematangan semua pihak yang terlibat,” tegasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast