JOHOR BAHRU – Menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan menyelesaikan masalah malah hanya memanjangkan ketidakpastian, kata Ketua UMNO Bahagian Pulai.
Syed Mohd Hafiz Syed Hassan berpendapat, rakyat Johor berhak menentukan hala tuju negeri itu sekarang.
Justeru katanya, mandat rakyat perlu diperoleh secara jelas bagi memastikan kerajaan yang dibentuk mampu berfungsi dengan efektif tanpa gangguan politik berpanjangan.
“Kestabilan bukan sesuatu yang boleh ditangguhkan. Ia mesti dibina melalui keputusan rakyat. Tanpa mandat yang jelas, segala perancangan pembangunan akan terus terjejas.
“Jika terus ditangguhkan, akhirnya rakyat juga yang menanggung kesan. Pilihan raya perlu diadakan supaya suara rakyat dapat diterjemahkan kepada hala tuju negeri yang lebih jelas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, rakyat ketika ini bergelut dengan pelbagai isu termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan dan jaminan masa depan generasi muda, justeru memerlukan sebuah kerajaan yang stabil serta berfungsi.
Menurutnya, begitu juga ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi yang semakin mencabar, keutamaan utama bukan penangguhan PRN sebaliknya keperluan kepada kepimpinan yang jelas serta kestabilan politik yang kukuh.- MalaysiaGazette
















