ANTARA babak menarik dalam Bahara Emas yang pernah dipentaskan sebelum ini.

KUALA LUMPUR – Ketika negara sedang berdepan dengan permasalahan rasuah yang sedang meruncing, sesuatu perlu dilakukan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya perbuatan tersebut termasuklah melalui pementasan teater.

Ini kerana melalui pementasan secara berdepan, masyarakat akan lebih mudah memahami tentang isu yang sedang melanda dan mereka dapat bersama-sama memberi pendapat.

Inilah usaha yang sedang dilakukan oleh CTRA Production dengan kerjasama Jawatankuasana Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) apabila memilih teater Bahara Emas untuk dipentaskan semula.

Teater yang berkonsep purbawara dan mengambil kisah daripada naskhah Sejarah Melayu itu ditulis dan pernah diarahkan oleh oleh Dr Rosminah Tahir akan mengadakan ‘road tour’ selama enam bulan mulai Julai ini.

Menurut Penerbit Bahara Emas, Siti Rohayah Atan, teater tersebut pernah dipentaskan di bawah terbitan bersama SPRM pada 2017 di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur sebagai salah satu program sambutan 50 tahun badan tersebut.

“Kali ini lokasi yang dipilih adalah beberapa institusi pengajian tinggi kerana di sinilah akan lahir bakal pemimpin masa depan yang mana mereka perlu diberikan pendedahan tentang bahayanya rasuah,” katanya.

SITI Rohayah Atan (dua dari kiri) bersama Datuk Shahar Abdullah (tiga dari kiri), Zaifri Husin (pengarah) dan Suhaila Awang (Pengurus Produksi) Bahara Emas Ketika pertemuan di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Siti Rohayah, idea mementaskan teater tersebut telah dibincangkan sejak awal penubuhan JKMR tahun lalu bersama bekas pengerusinya, Datuk Shahar Abdullah dan bekas Senator Dewan Negara, Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan.

“Kami telah mengadakan pelagai perbincangan dan mesyuarat sejak Mei tahun lalu bersama SPRM, JKMR dan MOTAC bagi memastikan projek ini dilaksanakan di landasan yang betul agar tujuannya sampai kepada rakyat.

“Pihak produksi sangat beruntung kerana walaupun Datuk Shahar sudah tidak lagi menjadi pengerusi JKMR apabila dilantik menjadi Timbalan Menteri Ekonomi, namun beliau tetap mengambil tanggungjawab sebagai Penasihat Utama,” tegasnya.

Menariknya teater yang berdurasi dua jam di bawah arahan Zaifri Husin itu akan menggunakan dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagaimana yang dicadangkan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing.

POSTER Bahara Emas… akan dipentaskan semula mulai Julai ini.

Ia sebagai sebagai salah satu inisatif menyokong kempen dan program Tahun Melawat Malaysia 2026 serta memberi peluang kepada pelancong luar untuk lebih memahami inti ceritanya.

“Ia adalah idea yang sangat menarik daripada seorang menteri kebudayaan kerana mementaskan teater berkonsep purbawara dalam bahasa Inggeris sangat jarang dilakukan, malah hampir tiada.

“Ia adalah satu proses yang sangat panjang dan memenatkan tapi bermanafaat bagi perkembangan seni persembahan di negara ini terutamanya di kalangan generasi muda untuk lebih mendalami seni tradisional purbawara,” tambah beliau.

ANTARA babak menarik dalam Bahara Emas yang pernah dipentaskan sebelum ini.

Bahara Emas mengisahkan tentang pengkhianatan dan rasuah yang dilakukan oleh pemimpin dan rakyat seperti Kitul dan Mendeliar terhadap Melaka sehingga negeri itu jatuh ke tangan Portugis.

Seramai 30,000 penonton dijangka akan menyaksikan teater tersebut yang akan dipentaskan di DBP Kuala Lumpur, Universiti Perguruan Sultan Idris (Perak), Univeristi Malaysia Pahang (Pahang), Universiti Teknologi Malaysia (Johor), Universiti Malaysia Sabah (Sabah) dan Universiti Malaysia Sarawak (Sarawak).

Sempena pementasan tersebut pelbagai aktiviti sokongan telah dirancang termasuklah sidang keilmuan, dialog, bengkel teater, reruai jualan dan pameran. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast