KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki tempatan susulan insiden melepaskan tembakan di Bangsar, Selasa lalu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 33 tahun itu ditahan di kawasan Klang, Selangor sekitar jam 11.45 malam, semalam.
“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas sepucuk pistol bersama satu butir peluru hidup serta sepucuk pistol tiruan.
“Semakan mendapati suspek pertama mempunyai lima rekod jenayah lampau manakala suspek kedua pula memiliki 17 rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 29 April dan kes masih dalam siasatan pihak polis. – MalaysiaGazette
















