Datuk Teng Chang Khim
Datuk Teng Chang Khim.

KUALA LUMPUR – Cubaan membawa usul tergempar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bertukar panas apabila bekas Yang Dipertua DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim tampil ‘menyekolahkan’ tindakan itu yang disifatkan tidak berlandaskan peraturan.

Beliau menegaskan, tiada sebarang peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat DUN Selangor yang membenarkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengemukakan usul tergempar untuk merujuk ahli lain ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Menurutnya, tindakan tersebut jelas bercanggah dengan prosedur Dewan dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya walaupun atas alasan mendesak.

“Tiada peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN Selangor) yang membenarkan seorang ahli biasa mengemukakan usul tergempar untuk merujuk ahli lain kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi menangani isu pelanggaran keistimewaan.

“Ahli dewan yang telah berkhidmat beberapa penggal itu bukan tidak faham, sebaliknya hanya berpura-pura,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Kenyataan itu hadir susulan tindakan ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin yang cuba mengemukakan usul bagi merujuk ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Dr Afif sebelum itu memaklumkan beliau telah menghantar usul berkenaan kepada Setiausaha Dewan pada sebelah pagi dan memohon Yang Dipertua DUN Selangor, Lau Weng San meneliti perkara tersebut.

Langkah berkenaan mencetuskan ketegangan dalam Dewan apabila beberapa wakil rakyat bangkit mempersoalkan kesahihan usul yang dikemukakan, sekali gus membuka perdebatan mengenai tafsiran peraturan mesyuarat.

Mengulas lanjut, Chang Khim menegaskan setiap tindakan dalam Dewan mesti berpaksikan peraturan bagi memastikan perjalanan sidang kekal teratur dan berintegriti.

Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan membawa usul tanpa asas kukuh bukan sahaja mengelirukan, malah berpotensi mencalar imej institusi legislatif negeri.

Terdahulu, Siew Ki mencetuskan kontroversi ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor apabila memohon kerajaan negeri mempertimbangkan sistem penternakan babi moden dan tertutup di Selangor.

Menurutnya, cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast