KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penghibur versatil, Andi Bernadee kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharunya, Aku Nak Kahwin – sebuah lagu santai – mengangkat realiti kehidupan ramai khususnya mereka yang sedang menanti jodoh.
Mengangkat tema yang dekat dengan masyarakat, Aku Nak Kahwin berkisarkan tentang seseorang yang sudah bersedia untuk berkahwin namun masih menunggu jodoh yang
dipermudahkan.
Dengan lirik yang jujur dan bersahaja, lagu itu turut menyentuh tentang tekanan daripada keluarga dan sekeliling di samping harapan untuk membina cinta yang halal dan bahagia.
Menurut Andi, ia mempunyai kekuatan daripada segi mesej yang mudah difahami dan dekat dengan pengalaman ramai kerana karya itu terasa sangat dekat dengan realiti ramai orang terutamanya mereka yang sudah lama bujang dan bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.
Katanya yang berumur 34, lagu itu membawa mesej yang jujur dengan lirik yang secara langsung dan menjadikannya mudah untuk pendengar kaitkan dengan pengalaman sendiri.
“Landskap muzik semasa yang banyak dipenuhi lagu bertemakan kekecewaan cinta, jadi saya melihat single ini sebagai satu nafas baharu. Saya rasa kita agak kurang lagu dengan tema sebegini. Kebanyakan lagu di carta sekarang lebih kepada kisah putus cinta atau kecurangan.
“Justeru, Aku Nak Kahwin hadir dengan vibe yang lebih ringan dan positif, sedikit perubahan mood yang lebih happy untuk pendengar,” katanya.

Daripada sudut produksi, Andi memberitahu, Aku Nak Kahwin turut menampilkan gabungan elemen nyanyian dan rap yang memberikan kelainan pada karya ini.
“Daripada segi penyampaian, lagu ini kedengaran santai dan tidak terlalu berat dari segi vokal. Namun, ia tetap memerlukan kawalan pernafasan yang baik.
“Apa yang menarik adalah gabungan dua elemen berbeza, nyanyian melodi dan rap yang
memberikan warna tersendiri kepada lagu ini, dan pada masa sama menjadi satu cabaran yang menyeronokkan untuk saya,” jelasnya lagi.
Di sebalik pelancaran lagu itu, Andi juga berkongsi bahawa perjalanan untuk merealisasikan lagu ini bersama album penuhnya, Ding Geding bukan sesuatu yang mudah.
“Sebelum ini, perancangan pelancaran terpaksa ditangguhkan apabila saya diuji dengan masalah kesihatan. Namun begitu, tempoh tersebut menjadi ruang untuk beliau berehat, pulih sepenuhnya dan kembali dengan semangat serta tenaga yang lebih baik.
“Kini, dengan keadaan kesihatan yang semakin pulih, Andi bersyukur akhirnya dapat berkongsi karya ini kepada peminat. Selain menyampaikan kisah yang relatable, lagu ini turut membawa mesej positif tentang kehidupan dan kebahagiaan.
“Lagu ini membawa mesej yang ringan tetapi bermakna bahawa status seseorang tidak menentukan kebahagiaan. Sama ada single atau sudah berkahwin, setiap orang ada perjalanan masing-masing.
“Saya berharap Aku Nak Kahwin dapat memberi rasa positif kepada pendengar dan menjadi pembukaan yang baik untuk album penuh saya yang akan datang itu Ding Geding,” ujar Andi.
Sementara itu, Aku Nak Kahwin kini boleh didengari di semua platform penstriman digital. – MalaysiaGazette

















