JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penangguhan pilihan raya negeri (PRN) dalam situasi bekalan tenaga ini masih belum dibincangkan buat masa ini.
Ditanya mengenai sama ada Pakatan Harapan (PH) akan bertanding solo pada PRN itu nanti, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, perkara tersebut juga akan dibincangkan.
“Akan dibincangkan nanti,” katanya ringkas selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, dilaporkan berkata, beliau akan membawa usul bagi menangguhkan PRN Johor dan PRN Melaka ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Selain itu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang juga Pengerusi DAP negeri itu juga mencadangkan supaya kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN negeri itu susulan krisis bekalan tenaga.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh pula berkata, cadangan tangguh PRN Melaka dan Johor perlu dinilai secara realistik terutama jika alasannya dikaitkan dengan faktor geopolitik semasa.
Fuziah berkata, perkara itu perlu mengambil kira tempoh had sesuatu pilihan raya boleh ditangguhkan dan implikasi terbabit.- MalaysiaGazette
















