Kedai makan Nasi Bajet baru dibuka di Taman Impian, di sini mula dikenali penduduk setempat selepas beroperasi awal bulan ini.

KUANTAN – Prihatin dengan beban kos sara hidup yang semakin meningkat, sepasang suami isteri mengambil inisiatif menawarkan hidangan ‘nasi bajet’ pada harga RM6 bagi membantu golongan kurang berkemampuan menikmati makanan lengkap pada harga mampu milik.

Langkah berani itu diambil ketika ramai peniaga terpaksa menaikkan harga makanan akibat peningkatan kos bahan mentah.

Nurhanita Mat Nasir menawarkan hidangan makanan tengah hari dengan harga RM6 dengan dua jenis lauk dan air.

Pengusaha kedai makan, Nurhanita Mat Nasir, 45, berkata, idea menyediakan menu bajet itu lahir daripada pengalaman hidup susah yang pernah dilaluinya sebelum ini.

Menurutnya, dia memahami kesukaran yang dihadapi masyarakat apabila harga barang keperluan meningkat, justeru mahu memainkan peranan membantu meringankan beban pelanggan dengan juadah mengenyangkan.

“Saya pernah melalui kesusahan, jadi saya faham keadaan orang yang terbeban dengan kenaikan harga barang. Bila ada peluang jual makanan murah, saya mahu bantu mereka.

“Kedai ini dibina di atas tanah pusaka keluarga suami, jadi kami tidak perlu bayar sewa. Jadi kami dah kurang kos bahagian sewa.

“Suami juga menternak ikan dan kami mendapat bekalan barang basah dengan harga lebih murah,” katanya ketika ditemui di kedainya berhampiran Taman Impian, di sini.

Nurhanita berkata, impian untuk membuka kedai makan yang menawarkan harga berpatutan itu akhirnya tercapai apabila dia dan suami memulakan operasi kira-kira tiga minggu lalu.

Ujar ibu kepada empat itu, kemampuan menjual makanan pada harga rendah didorong oleh kos operasi yang lebih rendah kerana tidak perlu menanggung sewa premis selain memperoleh bekalan bahan mentah pada harga berpatutan.

Bekas pengusaha katering itu berkata, pelanggan hanya perlu membayar RM6 untuk menikmati hidangan lengkap yang merangkumi lauk seperti ayam masak lemak, keli berlada atau ayam goreng, bersama dua jenis sayur, sambal dan minuman.

Menurutnya, pengalaman suaminya sebagai chef turut membantu memastikan kualiti makanan sentiasa terjaga walaupun ditawarkan pada harga bajet.

Kini, kedai makan yang diusahakan bersama seorang pekerja itu semakin mendapat sambutan penduduk setempat dan menjadi pilihan pelanggan yang ingin berjimat tanpa mengorbankan kualiti makanan.

Usaha pasangan itu membuktikan bahawa dalam keadaan ekonomi yang mencabar, masih ada peniaga yang sanggup mengutamakan kebajikan masyarakat demi membantu mereka yang memerlukan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast