BATU KAWAN – Malaysia perlu terus mengekalkan hubungan baik dengan semua negara bagi memastikan kestabilan ekonomi dan bekalan tenaga global tidak terjejas susulan ketegangan geopolitik antarabangsa yang semakin memuncak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan dasar luar negara yang bersifat bebas dan berkecuali membolehkan Malaysia berurusan dengan pelbagai pihak termasuk kuasa besar dunia, negara Teluk serta Iran walaupun konflik di Timur Tengah kini semakin memberi kesan kepada pasaran global.
“Malaysia adalah negara yang bebas dan berdaulat. Kita tidak campur tangan secara ketenteraan tetapi kita mesti bersuara apabila berlaku ketidakadilan termasuk serangan terhadap orang awam.
“Walaupun prestasi ekonomi negara menunjukkan perkembangan memberangsangkan termasuk pertumbuhan lebih baik, peningkatan pelaburan, pengukuhan ringgit serta kadar pengangguran rendah, ketidaktentuan global masih memberi risiko besar kepada rantaian bekalan.
“Isu utama sekarang ialah bekalan, sama ada barangan asas termasuk bahan api akan terus mencukupi, diikuti tekanan harga,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-80 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini hari ini.
Menurutnya, beberapa negara luar kini berdepan gangguan bekalan bahan api termasuk penutupan stesen minyak dan pembatalan penerbangan akibat kekurangan bekalan.
“Malaysia setakat ini belum mengalami situasi sama namun semua pihak perlu sentiasa berwaspada dan tidak mempolitikkan isu berkenaan.
“Ada masa untuk perbezaan politik tetapi ketika ini kerajaan, industri dan rakyat perlu bertindak sebagai satu pasukan bagi melindungi ekonomi dan kepentingan negara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan terus memantau kesan kenaikan harga diesel serta kekangan bekalan terhadap sektor tertentu, meskipun penggunaan bahan api itu lebih kecil berbanding petrol RON95.
“Kerajaan juga mempergiatkan libat urus dengan pemain industri termasuk PKS, syarikat pengangkutan dan institusi kewangan bagi memastikan daya tahan ekonomi negara terus kukuh dalam keadaan global yang tidak menentu.
“Selain itu subsidi bersasar masih diteruskan untuk kumpulan tertentu termasuk nelayan, petani dan pengangkutan awam,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut memaklumkan usaha diplomatik serta komunikasi dengan kepimpinan Iran telah membantu memastikan kapal minyak Malaysia mendapat laluan selamat melalui Selat Hormuz.
“Sebuah kapal kita telah tiba di Pengerang, Johor manakala satu lagi sedang dalam perjalanan, namun beberapa penghantaran masih terkesan akibat ketegangan yang berlaku.
“Tapi dakwaan kononnya Malaysia mengeksport bahan api sehingga menjejaskan keperluan domestik itu adalah tuduhan itu tidak berasas dan boleh menjejaskan keyakinan awam,” katanya. – MalaysiaGazette
















