Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

TEMERLOH – Pendekatan golongan profesional dalam ketokohan politik di Pahang antara `peluru’ Perikatan Nasional (PN) dalam merealisasi impian menerajui negeri itu pada masa akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN kini bukan lagi sekadar parti yang didominasi oleh tokoh agama, sebaliknya telah berevolusi menjadi sebuah pasukan yang lebih komprehensif dengan penyertaan ramai tokoh profesional daripada pelbagai latar belakang.

Menurutnya, kepelbagaian kepakaran itu merupakan strategi utama untuk memacu pembangunan Pahang dengan lebih efektif selain berusaha menyelesaikan isu kos sara hidup yang didepani rakyat.

Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka itu, tanggapan umum bahawa Pas atau PN sebelum ini yang hanya tertumpu kepada bidang agama perlu diperbetulkan.

“Kita ada ramai tokoh profesional dalam pelbagai bidang. Selain tokoh agama, kita mempunyai gabungan kepakaran daripada peguam, pakar ekonomi, serta tokoh dalam bidang pendidikan dan sosial.

“Biasanya dalam bidang agama saja tapi kali ini tokoh profesional seperti peguam, tokoh ekonomi, ada juga pendidikan sosial, jadi kita gabung ini ada dalam konteks negeri Pahang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ujar Timbalan Presiden Pas itu, langkah tersebut dilihat sebagai persediaan rapi PN untuk membuktikan keupayaan mereka dalam mentadbir negeri dengan sokongan teknokrat yang berpengalaman.

Jelasnya, bedasarkan kajian yang dibuat oleh PN, rakyat di negeri ini digambarkan unik kerana mengutamakan isu kestabilan dan perpaduan kaum yang menjadi agenda utama dalam memenangi hati rakyat.

“Rakyat Pahang meletakkan isu kestabilan dan perpaduan kaum sebagai satu benda yang penting dan diterima oleh semua kaum.

“Dalam konteks PN kita memberi keutamaan dan lihat soal perpaduan antara kaum dan keharmonian dapat dijaga, selain agenda kos hidup dan nilai hidup juga menjadi fokus kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast