Wee Ka Siong dalam Majlis Makan Malam Kutipan Dana Sempena Ulang Tahun ke-77 MCA di Pekan Nanas, Pontian, malam tadi.

PONTIAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menunjukkan prestasi cemerlang wajar dikekalkan pada Pilihan Raya Negeri PRN (Johor) akan datang.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah memberi peluang kepada mereka adalah wajar kerana sudah berkhidmat dengan baik di kawasan masing-masing.

“ADUN Pekan Nanas, Tan Eng Meng dan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memberi khidmat terbaik dalam membantu masyarakat setempat.

“Antara sumbangan mereka ialah memindahkan pusat pemulihan berasaskan komuniti ke lokasi yang lebih sesuai dan menyediakan tuisyen untuk pelajar sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Kutipan Dana Sempena Ulang Tahun ke-77 MCA di Pekan Nanas di sini, malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata, pelaburan tertinggi di Johor sudah diterjemahkan dalam bentuk bantuan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sudah menunjukkan beliau responsif dan prihatin terhadap keperluan rakyat.

“Inisiatif negeri seperti Bantuan Kasih Johor sudah menyalurkan bantuan kewangan kepada ibu tunggal, pelajar universiti dan petani tanpa mengira kaum atau agama, manakala lebih banyak program sedang dirancang.

“Berdasarkan situasi (global) yang sentiasa berubah, Onn Hafiz sudah menunjukkan kepimpinan dengan mengubah suai sistem sedia ada yang sebelum ini kurang berkesan dan menambah baiknya,” katanya.

Ujae Ka Siong, apa yang dilakukan itu mencerminkan tindak balas kerajaan negeri dalam memenuhi keperluan dan kebajikan rakyat.

Beliau menambah, kepimpinan dinamik Menteri Besar Johor itu juga kini mendapat maklum balas positif terutamanya daripada masyarakat Cina.

“Di lapangan orang ramai datang kepada saya untuk memuji gaya kepimpinannya dan bagaimana mereka tersentuh dengan keikhlasannya,” katanya.

Untuk rekod, Johor mencatatkan jumlah pelaburan RM110 bilion tahun lepas, iaitu yang tertinggi dalam sejarah negara. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast