Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Foto SADIQ SANI, 26 APRIL 2026.

CYBERJAYA – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar undang-undang berkaitan pasaran digital diperkukuh termasuk mewujudkan satu akta khusus, bagi memastikan integriti serta akauntabiliti ekosistem digital terus terpelihara dalam menghadapi cabaran sektor yang semakin kompleks.

Beliau berkata, langkah itu penting memandangkan platform dalam talian kini bukan sahaja menjadi medium jual beli, malah turut mempengaruhi corak perbelanjaan serta pilihan pengguna.

Menurutnya, seperti transaksi fizikal, urus niaga dalam talian juga perlu dikawal dengan standard yang sama, termasuk memastikan maklumat produk jelas, harga telus dan proses pemulangan wang yang mudah serta adil.

“Kita tidak boleh membenarkan pasaran digital bergerak lebih pantas daripada peraturan yang mengawalnya.

“Justeru, saya mencadangkan supaya undang-undang sedia ada diperkukuh dan satu kerangka lebih menyeluruh diwujudkan, termasuk ke arah penggubalan akta khusus bagi pasaran digital,” katanya.

Beliau berucap pada Sambutan Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke-54 serta Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali; Timbalannya, Datuk Fuziah Salleh; Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar serta Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.

Ahmad Zahid menegaskan, usaha memperkukuh undang-undang dan mempertimbangkan pembentukan akta khusus itu merupakan langkah ke hadapan dalam membina ekosistem kepenggunaan yang lebih diyakini rakyat.

Katanya, keberkesanan sesuatu dasar tidak seharusnya diukur melalui perancangan semata-mata, sebaliknya berdasarkan impak sebenar yang dirasai oleh pengguna.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh literasi pengguna dan literasi digital dalam kalangan masyarakat.

“Pengguna hari ini perlu memahami hak mereka, peka terhadap risiko serta tahu cara melindungi diri dalam dunia digital yang semakin mencabar.

“Usaha ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak kerana KPDN sahaja tidak mampu menyantuni jutaan pengguna di seluruh negara,” ujarnya.

Tambah beliau, pendekatan bersama kementerian lain serta rakan strategik amat penting bagi memastikan semua lapisan masyarakat, khususnya di luar bandar, golongan muda dan kumpulan rentan, tidak mudah terdedah kepada manipulasi serta penipuan dalam talian. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast