Fauzi Faizal

JOHOR BAHRU – Gesaan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain agar pengundi menghukum UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) adalah cubaan menghasut rakyat dengan tuduhan yang tidak berasas.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Fauzi Faizal berkata, Zuhan memberikan gambaran tidak tepat dengan memainkan sentimen serta gambaran tidak tepat terhadap kepimpinan UMNO dan BN sekali gus mengelirukan rakyat.

Beliau membidas dakwaan, kenyataan Zuhan itu yang tidak mencerminkan realiti pentadbiran negeri ketika ini.

“Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama-sama barisan Exco kerajaan negeri serta wakil rakyat BN telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik sejak diberi mandat pada PRN lalu.

“Pelbagai inisiatif kebajikan telah dilaksanakan termasuk Bantuan Kasih Johor, Inisiatif Perumahan Kasih Johor, bantuan kepada pekerja gig, Bantuan Mahasiswa Anak Johor, program Back To School serta bantuan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua usaha itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam meringankan beban rakyat, khususnya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurutnya, soal bila PRN diadakan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menimbulkan keraguan terhadap kesungguhan kepimpinan negeri dalam terus berkhidmat kepada rakyat.

Beliau turut menggesa Amanah Johor agar tidak menjadi pihak yang memecah-belahkan perpaduan rakyat serta menghakis kepercayaan terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang stabil dan berfungsi.

Semalam Zuhan dilaporkan berkata, UMNO dan BN perlu dihukum dalam PRN sebagai satu mesej terhadap kegagalan mereka mentadbir dan memahami keperluan rakyat.

Zuhan berkata, rakyat berhak memilih kepimpinan yang stabil, berintegriti dan benar-benar fokus kepada kebajikan rakyat.

Tegas beliau, bukannya kepimpinan yang menjadikan politik sebagai medan perebutan kuasa tanpa hala tuju jelas.

Jelasnya, antara faktor utama perlu ditolak adalah ketidakprihatinan UMNO dan BN terhadap masalah ekonomi rakyat yang semakin meruncing ketika kos sara hidup terus meningkat,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast