KUANTAN – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah bas di kilometer 0.8 jalan turun Genting Highlands, Bentong.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat JBPM Pahang, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohd Salahuddin Isa, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 11.57 pagi tadi.
Sejurus menerima laporan, katanya, seramai empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting dibantu 10 pegawai dan anggota Fire Unit Genting bergegas ke lokasi.
“Ketika sampai di lokasi kemalangan, didapati remaja itu berada di bawah bas tersebut. Operasi mengeluarkan mangsa terus dilakukan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, katanya, mangsa bernama Mikail Brian Iskandar disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Mohd Salahuddin berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















