JOHOR BAHRU – Johor Tigers melalui fasa transformasi menyeluruh dengan persiapan rapi sejak hujung tahun lalu menjadi asas keyakinan Pasukan Ragbi Johor untuk kompetitif dalam edisi 42 Kejohanan Ragbi Piala Agong 2026.
Pasukan Ragbi Johor itu turut memperkukuh pasukan dengan kehadiran empat pemain import dari New Zealand dan Fiji bagi menguatkan cabaran musim ini.
Langkah itu dilihat sebagai suntikan besar buat skuad berwajah baharu yang kini tampil dengan identiti Johor Tigers, selain tekad untuk mendominasi saingan.
Presiden Persatuan Ragbi Negeri Johor, Datuk Mohd Norazam Osman berkata, kehadiran pemain import itu diyakini mampu meningkatkan tahap permainan pasukan selain menambah kelebihan daripada segi pengalaman serta daya saing.
“Persiapan Johor sudah bermula sejak hujung tahun lalu termasuk menyertai Singapore League sebagai platform membina pasukan serta menilai barisan terbaik.
“Tumpuan pastinya terarah kepada pemain import dari New Zealand, Tim Nanai-Williams yang memiliki pengalaman beraksi di pentas Piala Dunia Ragbi 2015 dan 2019, sekali gus menjadi tonggak penting pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran pasukan Johor Piala Agong 2026 di sini malam tadi.
Sementara itu, pasukan yang kini dibimbing bekas kapten All Blacks, Rodney So’oialo turut menampilkan beberapa pembaharuan musim ini termasuk daripada aspek latihan dan sistem permainan.
Menurut Rodney, kekalahan tipis kepada PDRM pada final musim lalu menjadi pengajaran penting buat pasukannya untuk memperbaiki kelemahan menjelang kempen kali ini.
Kejohanan Ragbi Piala Agong 2026 edisi 42 akan berlangsung 9 Mei hingga 28 Jun depan, menghimpunkan sembilan pasukan terbaik negara termasuk Negeri Sembilan dan Putrajaya.
Juara bertahan PDRM mengetuai Kumpulan A manakala Johor Tigers, naib juara edisi lalu akan memulakan saingan Kumpulan B dengan aksi pembukaan menentang Putrajaya di Stadium Ragbi Johor, pada 9 Mei ini.- MalaysiaGazette















