Gambar seorang askar komando yang dipercayai dipukul ketika menjalani latihan di Kem Tentera Komando (Kem Iskandar), Mersing, Johor pada sidang media di Lawyers for Liberty, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 30 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Sebelas individu dirakam keterangan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes seorang komando muda tentera yang cedera parah dalam satu insiden di Kem Iskandar, Mersing, Johor, Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kedua-dua anggota tentera yang ditahan 14 Mac lalu pula sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama empat hari.

Katanya, kedua-dua anggota berusia 24 tahun dari Kem Iskandar itu telah diserahkan kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Seramai 11 orang saksi sudah direkodkan (keterangan) terdiri ahli keluarga mangsa, pegawai atasan mangsa, doktor yang merawat mangsa dan rakan sekerja mangsa,” katanya seperti yang dilaporkan sebuah akhbar, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/04/30/komando-muda-kritikal-insiden-ketika-latihan-lfl-desak-siasatan-dan-penjelasan-atm/

https://malaysiagazette.com/2026/04/30/komando-muda-kritikal-polis-johor-tahan-dua-tentera-rampas-rotan/

Semalam, Ab Rahman memaklumkan pihaknya telah menahan dua anggota tentera dari kem yang sama bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 24 tahun itu ditahan pada pukul 11.45 malam pada 14 Mac lalu selepas pihaknya menerima aporan polis.

Beliau berkata, polis turut merampas sebatang rotan sepanjang kira-kira 72 sentimeter yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian tersebut.

Terdahulu, Malaysia Gazette melaporkan, seorang anggota komando muda sedang bertarung nyawa selepas mengalami kecederaan parah sehingga sebahagian tengkoraknya terpaksa dikeluarkan, akibat insiden ketika latihan di Kem Tentera Komando (Kem Iskandar), Mersing, Johor, pada 11 Mac lalu.

Mangsa, Trooper Abdul Hamid Talib, 25, kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dalam keadaan tidak sedarkan diri, tidak mengenali persekitaran, tidak mampu bercakap, menerima pemakanan melalui tiub serta bergantung kepada bantuan pernafasan melalui trakeostomi.

Perkara itu didedahkan Lawyers for Liberty (LFL) menerusi wakilnya, N Surendran dalam sidang media semalam yang turut dihadiri ahli keluarga mangsa serta barisan peguam.

Peguam yang mewakili keluarga, Suzana Norlihan Alias, turut hadir dan difahamkan mengambil kes itu secara pro bono, manakala keluarga mangsa dilaporkan berasal dari Sabah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast