KUANTAN – Isu muara cetek di Kampung Sungai Ular kini dilihat bukan sekadar masalah alam sekitar, tetapi simbol kegagalan pendekatan lama yang berulang sejak lebih empat dekad.
Nelayan, Muhammad Nizan Daud, 46, berkata, masalah muara cetek di situ seperti menemui jalan buntu kerana tiada berkesudahan sehingga membelenggu nasib nelayan tahun berganti tahun.
Beliau berkata, bukan tiada usaha dan bantuan yang disalurkan, namun tidak menemukan jalan penyelesaian untuk jangka masa panjang malahan merugikan pihak kerajaan.
“Ibaratnya hari ini korek, tak lama kemudian hanyut. Boleh kata setiap tahun ada kerja pendalaman muara sungai dilakukan.
“Setiap kali itu juga, hasilnya hilang sekelip mata apabila pasir kembali menimbus muara, seolah-olah ratusan ribu ringgit ditelan laut,” katanya.
Lebih membimbangkan, peruntukan antara ratusan ribu setahun yang sepatutnya menyelesaikan masalah, tetapi dilihat gagal memberi impak jangka panjang.

“Kita ralat sebab Sungai Ular terus terperangkap dalam kitaran sama sejak era 1980-an.
“Bukti di lapangan jelas apabila projek pendalaman bernilai RM200,000 hanya mampu bertahan sekitar tiga bulan sebelum muara kembali cetek.
“Punca utamanya kerana tiada struktur penahan seperti benteng atau ‘breakwater’ untuk menghalang kemasukan semula pasir akibat ombak dan arus.
“Akibatnya, setiap kerja korek hanya bersifat sementara membutikan pembaziran kos berulang tanpa membina sebarang aset fizikal.
“Jadi kami berpendapat cara paling sesuai dengan menghentikan aktiviti mengorek dan mendalamkan sungai sebaliknya membila membina benteng kekal,” katanya.
Kini, satu pendekatan baharu mula diketengahkan dengan beralih daripada kerja pendalaman berkala kepada pembinaan benteng batu (armor rock) secara berfasa.
Strategi itu dilihat lebih mampan kerana walaupun bermula dengan kos serendah RM100,000, ia mampu membina perlindungan fizikal yang mengurangkan pergerakan pasir dan kesan ombak dalam jangka panjang.
“Walaupun kecil, bina sebelah dahulu sudah cukup untuk memecahkan kitaran mendapan,” menurut sumber teknikal yang terlibat dalam cadangan tersebut.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Nik Mohd. Ridzuan Kamarudin ketika turun padang berpendapat langkah itu dilihat lebih proaktif daripada melihat tiada kesudahan nasib nelayan di situ.
Ujarnya, lebih membimbangkan perkara tersebut sama menimpa bagi komuniti nelayan di Balok, di sini.

“Kalau ada peruntukan sikit tahun ini, kita bina sikit dulu, lama-lama siap benteng. Sebab kalau nak buat terus memang tak dapat siap terus.
“Jadi tambah batu dilakukan secara berkala mengikut kemampuan dana yang ada, boleh minta bantuan mana-mana agensi berkaitan yang ada walaupun sedikit,” cadangnya.
Ini kerana matlamat akhirnya adalah untuk memanjangkan tempoh ketahanan muara dan mengurangkan kebergantungan kepada kerja pendalaman yang memakan kos tinggi, katanya.
Nik Mohd Rizuan berkata, pihaknya kini sedang menunggu hasil tindakan mesyuarat oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang. – MalaysiaGazette















