Shaharrudy Othman (depan) melancarkan gimik OP Syahbandar di Melaka, hari ini.

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) hari ini melancarkan Operasi Pematuhan Cukai Peringkat Nasional 2026, dikenali sebagai OP Syahbandar bagi melaksanakan tindakan semakan pematuhan terhadap 1,300 kes yang telah dikenal pasti.

Operasi berskala nasional yang berlangsung selama lima hari bermula 4 hingga 8 Mei 2026 itu menggerakkan seramai 2,195 pegawai LHDN di seluruh negara sebagai langkah memperkukuh pematuhan cukai serta membanteras ketirisan hasil negara.

LHDN Melaka bertindak sebagai tuan rumah bagi pelancaran operasi bersepadu tersebut akan memberi tumpuan kepada aktiviti audit melibatkan Cukai Syarikat, Cukai Selain Syarikat dan Cukai Majikan, selaras dengan perkembangan ekonomi digital dan landskap perniagaan semasa, industri pembuatan dikenal pasti sebagai fokus utama OP Syahbandar tahun ini.

Antara pembayar cukai yang diberi perhatian dalam operasi ini ialah melibatkan syarikat yang melaporkan pendapatan lebih rendah daripada margin industri, syarikat belum pernah diaudit, syarikat yang dikenal pasti mempunyai risiko dalam tuntutan insentif cukai, serta syarikat yang terlibat dalam transaksi harga pindahan dengan pihak berkaitan di luar negara.

Dalam ucapannya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN (Pematuhan), Shaharrudy Othman yang melancarkan kempen itu berkata, operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam memastikan setiap pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab percukaian secara adil dan saksama.

Tambah beliau lagi, LHDN juga terus memperkukuh usaha pematuhan secara strategik bagi memastikan kutipan hasil negara kekal mampan, di samping mengekang ketirisan hasil demi kepentingan negara.

LHDN berharap, OP Syahbandar  dapat memberi impak positif melalui pendekatan bersepadu dalam memperkukuh tindakan pematuhan lebih berkesan, selain kekal teguh memastikan integriti sistem percukaian negara terus dipelihara, sekali gus memperkukuh hasil negara serta menyokong kestabilan ekonomi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast