KUALA LUMPUR – Pelabur asing melanjutkan aliran jualan bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, mencatatkan aliran keluar sebanyak -RM85.1 juta pada minggu lepas.
MBSB Research berkata, institusi asing merupakan penjual bersih pada tiga daripada empat hari dagangan dalam minggu tersebut.
Aliran keluar terbesar direkodkan pada hari Khamis (-RM120.9 juta), diikuti Isnin (-RM41.9 juta) dan Selasa (-RM32.7 juta). Satu-satunya aliran masuk direkodkan pada hari Rabu (RM110.4 juta).
Pasaran ditutup pada hari Jumaat sempena Hari Pekerja.
Menurut firma penyelidikan itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk bersih asing ialah produk & perkhidmatan perindustrian (RM128.3 juta), teknologi (RM114.2 juta) dan perladangan (RM53.3 juta).
Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar bersih asing ialah utiliti (-RM116.9 juta), hartanah (-RM103.1 juta) dan penjagaan kesihatan (-RM74.9 juta).
Manakala, pelabur institusi tempatan meneruskan momentum belian bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sederhana sebanyak RM2.2 juta.
Pelabur runcit pula menamatkan trend jualan bersih selama dua minggu berturut-turut dengan mencatatkan aliran masuk bersih RM82.8 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan secara menyeluruh: pelabur runcit menurun sebanyak -1.0%, institusi tempatan meningkat +13.9%, manakala institusi asing meningkat +6.8%. – MalaysiaGazette
















