KUALA LUMPUR – Seramai 12 mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) dari Universiti Malaya (UM) mencipta sejarah apabila berjaya menembusi sempadan global menerusi penyertaan dalam Program Mobiliti Outbound Jangka Pendek INCLUDE Siri I di Universitas Multimedia Nusantara (UMN), Indonesia.
Program yang berlangsung selama lima hari bermula 5 hingga 9 Mei itu merupakan inisiatif pertama seumpamanya yang direka khusus untuk mahasiswa OKU, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pendidikan inklusif di peringkat antarabangsa.
Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti pembelajaran berasaskan deria termasuk bengkel masakan, kraftangan tradisional, seni terapi, serta sesi podcast bersama Fakulti Ilmu Komunikasi UMN.
Naib Canselor UM, Noor Azuan Abu Osman berkata, program itu mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa mahasiswa OKU sejajar dengan aspirasi pendidikan tinggi negara untuk melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global.
“INCLUDE bukan sekadar program, tetapi langkah awal ke arah masa depan pendidikan yang lebih inklusif dan saksama,” katanya.
Program INCLUDE bukan sekadar mobiliti akademik, malah menjadi platform penting dalam membina keyakinan diri, mengasah kemahiran global serta memperluas pengalaman silang budaya dalam suasana inklusif dan selamat dengan sokongan rakan “buddies” serta pegawai pengiring.
Pengalaman unik “bioskop bisik” turut menjadi antara pengisian utama yang memberi dimensi baharu kepada dunia sinematik bagi peserta OKU penglihatan.
Sementara itu, Pengarah Pusat Mobiliti Global (GMC), Rafiza Hashim berkata, pelaksanaan program tersebut selaras dengan hasrat universiti untuk memastikan setiap pelajar Ijazah Pertama berpeluang mengikuti program mobiliti outbound sekurang-kurangnya sekali sepanjang pengajian.
“Inisiatif itu turut membuktikan pelajar OKU diberikan peluang setara seperti pelajar lain”, katanya.
Program tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara portfolio Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dengan penglibatan Pusat Mobiliti Global (GMC), Pusat Kaunseling & Disabiliti (CCDE), Kolej Kediaman 7 serta ASEAN University Network–Disability and Public Policy Network (AUN-DPPNet).
Usaha bersepadu itu sekali gus membuktikan bahawa pendidikan berkualiti tidak mengenal sempadan serta membuka peluang tanpa ragu kepada semua lapisan pelajar. – MalaysiaGazette
















