Ting Han ketika menjawab soalan lisan dalam sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Johor berjaya menarik minat kukuh 36 pelabur antarabangsa dengan potensi komitmen pelaburan awal dianggarkan mencecah RM10 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, potensi pelaburan itu diperoleh hasil daripada delegasi Kerajaan Negeri Johor ke Shanghai, China baru-baru ini.

“Lawatan ini  yang memberi tumpuan kepada pengukuhan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) menyaksikan sesi libat urus strategik bersama lebih 150 pelabur berpotensi tinggi, termasuk pemilik syarikat dan pembuat keputusan peringkat tertinggi.

“Daripada jumlah itu, 36 syarikat telah menyatakan komitmen awal atau minat serius untuk melabur di Johor, sekali gus mencerminkan tahap keyakinan berterusan pelabur global terhadap daya saing negeri ini, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi soal jawab dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Ting Han menjawab soalan Chen Kah Eng (DAP-Stulang) mengenai hasil dapatan delegasi ke Shanghai baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, komitmen pelaburan awal yang dikenal pasti bernilai RM10 bilion itu tertumpu kepada sektor strategik seperti elektrik dan elektronik (E&E), teknologi bateri, aeroangkasa, automotif serta pembuatan berteknologi tinggi.

Jelasnya, pendekatan delegasi kali ini dilihat lebih menyeluruh dan berfokus kepada pembangunan ekosistem industri, bukan sekadar promosi pelaburan konvensional.

“Kerajaan negeri turut bekerjasama dengan institusi kewangan utama termasuk Maybank, AmBank, UOB, OCBC, China Construction Bank dan ICBC bagi memperluaskan capaian kepada rangkaian pelabur di China dan rantau ini,” katanya.

Selain itu katanya, delegasi turut mengadakan sesi perbincangan mendalam secara bersemuka dengan beberapa pemain industri utama serta rangkaian pembekal mereka bagi memperkukuh potensi pelaburan dan pembangunan rantaian bekalan di Johor.

Katanya, itu selari dengan strategi negeri untuk membangunkan kluster industri bersepadu melibatkan sektor aeroangkasa, semikonduktor dan pembuatan maju, sekali gus memperkukuh kedudukan Johor dalam rantaian nilai global.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast