KUALA LUMPUR — Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memberi amaran keras kepada mana-mana wakil rakyat yang cuba mengkhianati mandat atau menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan yang mereka akan berdepan tindakan tegas termasuk disingkirkan daripada barisan kepimpinan.
Beliau menegaskan, Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan kekal stabil selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencapai persefahaman penuh untuk mempertahankan pentadbiran sedia ada di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Mana-mana ahli Parlimen, ADUN DAP kalau dia ambil peluang nak berpaling tadah, nak ambil peluang, kita campak dia. Mana-mana yang cuba belot, saya campak dia,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah perdana PH di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menurut Anthony, semua pimpinan dan wakil rakyat dalam gabungan perlu kekal berdisiplin serta tidak mengambil kesempatan terhadap sebarang situasi politik yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan.
“Mana-mana Ahli Parlimen, ADUN DAP, kalau dia mengambil peluang nak berpaling tadah, nak ambil peluang, kita campak dia. Mana-mana satu dah cuba belot, saya campak dia.
“PKR pun kena sama, (Datuk Seri) Aminuddin (Harun) kena tegas. Bang Mat lagi kena tegas. Kalau tak sokong, campak sahaja,” katanya.
Anthony turut mengingatkan pengalaman beberapa krisis politik sebelum ini menjadi pengajaran penting yang kerajaan hanya boleh bertahan melalui kesetiaan kepada mandat rakyat.
Beliau berkata, sebarang usaha untuk mengumpul sokongan secara tidak sah atau menggugat kerajaan tidak boleh diterima dalam landskap politik semasa.

Dalam ceramah sama, Saifuddin Nasution pula berkata, Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan kekal stabil dan terus berfungsi seperti biasa di bawah kepimpinan Aminuddin.
Beliau berkata, hasil pertemuan antara pimpinan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan telah mencapai keputusan terbaik bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri.
“Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan akan terus berfungsi. The bottom line, Aminuddin akan terus memimpin,” katanya.
Saifuddin turut menegaskan pimpinan perlu bertindak dengan tenang dan bijaksana dalam menguruskan situasi politik semasa demi mengelakkan ketegangan yang tidak perlu.
“Pimpinan mesti ada kebijaksanaan, kita kena urus emosi dan sentimen dengan baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















