Mohd Hairi ketika menjawab soalan lisan dalam sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor memperuntukkan RM10.55 juta membantu pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Johor sejak empat tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, bantuan disalurkan menerusi Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB) itu bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan.

“Daripada jumlah itu, RM3.5 juta diberikan bagi Geran PKS Makmur Johor tahun 2022 dan RM3.5 juta lagi bagi Geran Usahawan Bangsa Johor pada tahun 2023.

“Sementara bagi tahun 2024, kerajaan Johor membelanjakan RM2 juta bagi Geran Usahawan Maju Johor dan tahun ini meningkat kepada RM1.7 juta bagi Bantuan Ushawan Maju Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Mohd Hairi menjawab soalan lisan Ee Chin Li (PH -Tangkak) berkenaan jumlah PKS yang menerima bantuan kerajaan negeri sejak 2023 dan berapa peratus yang masih aktif beroperasi selepas dua tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 1,813 usahawan iaitu 98.75 peratus masih aktif selepas tempoh dua tahun manakala 23 usahawan (1.25 peratus) tidak aktif yang  memerlukan intervensi susulan.

Katanya, selain bantuan PUJB, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kepada PKS dalam sektor pertanian melalui Jabatan Pertanian Negeri Johor.

Beliau memberitahu, bagi tempoh 2023 hingga 2025, seramai 557 PKS menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan RM10,579,216.

“Hasil pemantauan dan penilaian yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian mendapati bahawa sebanyak 88 peratus daripada PKS pertanian yang menerima bantuan ini masih aktif beroperasi selepas tempoh dua tahun,” katanya.

Peratusan itu katanya, menunjukkan tahap keberkesanan yang baik bagi program bantuan yang disalurkan khususnya dalam memastikan kelangsungan operasi usahawan tani serta meningkatkan daya tahan perniagaan mereka dalam sektor pertanian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast