Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media sempena Program Jelajah Wira Madani Briged Tenggara PGA di Dewan Kelisa Mess Pegawai Briged Tenggara PGA hari ini.

KUANTAN Tanpa kelibat polis, minyak subsidi negara didakwa ‘mengalir keluar’ dengan dengan sewenang-wenangnya ke tangan pihak tidak layak termasuk warga asing yang sanggup mengambil kesempatan terhadap harga murah RON95.

Pendedahan itu dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyifatkan kehadiran anggota polis di stesen minyak sempadan kini umpama ‘hero penyelamat’ mengekang ketirisan subsidi rakyat daripada terus dirompak secara senyap.

“Saya setiap hari menerima laporan daripada bilik operasi KDN. Sejak krisis Asia Barat ini, kami menubuhkan bilik operasi harian untuk mengumpul semua data dan maklumat hasil daripada gerakan atau gerak kerja agensi-agensi di bawah kami,” katanya pada Program Jelajah Wira Madani Briged Tenggara PGA di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Menurut beliau, hasil pemantauan kerajaan membuktikan sebaik sahaja kawalan polis diperketatkan di kira-kira 170 stesen minyak di sempadan, jualan RON95 terus menjunam sehingga 20 peratus.

“Hasil pemantauan kita dapati bahawa paling ketara iaitu jualan RON95 yang merosot sehingga 20 peratus, manakala RON97 petrol tidak bersubsidi ini melonjak jualannya.

“Apa maksud angka ini? Maksudnya kalau tanpa kawalan polis, maka kita dapati bahawa jumlah ini dia pergi kepada mereka yang tidak layak untuk memperolehinya,” katanya.

Tambahnya, secara tidak langsung apabila polis ada, mereka yang selama ini tidak layak membeli minyak subsidi mula takut dan fikir banyak kali.

Tan Sri Ayob Khan mengiringi Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menyantuni penerima pada Program Jelajah Wira Madani Briged Tenggara PGA di Dewan Kelisa Mess Pegawai Briged Tenggara PGA hari ini.Lebih membimbangkan, Saifuddin Nasution memberi bayangan bahawa sindiket penyalahgunaan subsidi kini semakin licik dan tersusun, terutama di kawasan sempadan Sabah, Sarawak, Kelantan, Perlis dan Johor.

Katanya, kerajaan kini bukan sahaja berdepan cabaran memastikan bekalan petrol mencukupi, malah terpaksa ‘berperang’ dengan pihak yang cuba menyedut subsidi negara untuk keuntungan sendiri.

Susulan itu, ujar beliau, KDN menubuhkan bilik operasi khas bagi memantau pergerakan dan pola pembelian di stesen minyak sempadan, termasuk menjalankan pemprofilan terperinci terhadap stesen yang disyaki terlibat.

Menurut beliau, pihak berkuasa kini sedang mengesan modus operandi sindiket yang dipercayai menggunakan pelbagai helah untuk membeli RON95 secara haram sebelum diseludup keluar.

“Dengan kehadiran pasukan polis, mereka yang tak layak akan fikir banyak kali untuk membeli minyak subsidi yang sepatutnya mereka tak layak.

“Jadi kita sedang melakukan profiling ini, modus operandi dia dan saya sebut tadi sehingga satu tempoh yang akan kita maklumkan buat masa sekarang, kawalan pasukan polis ini akan kita teruskan,” ujarnya.

Tegasnya, setiap titis minyak subsidi yang jatuh ke tangan pihak tidak layak adalah kerugian kerana RON95 adalah untuk rakyat Malaysia, bukan untuk dijadikan lubuk keuntungan pihak luar.

“Alasannya sangat mudah, ketika kita sedang bergelut untuk memastikan bekalan cukup, kita kekalkan harga rendah dengan kaedah pemberian subsidi, timbul perbuatan penyedupan dan salah guna.

“Maka itu sangat tidak wajar dilakukan dan polis kami ambil peranan ini,” katanya.

Dalam persekmbangan sama, Saifudin Nasution memberi amaran keras kepada pemilik kad subsidi diesel (fleet card) yang dikesan bersekongkol dengan sindiket penyelewengan bahan api apabila mencadangkan supaya golongan terbabit terus didakwa di mahkamah serta-merta, selain kelayakan mereka dibatalkan.

Ujarnya, kerajaan tidak lagi mahu melihat kesalahan serius melibatkan penyalahgunaan subsidi negara diselesaikan hanya melalui bayaran kompaun.

Menurut beliau, tindakan lebih keras perlu dilaksanakan kerana sindiket penyelewengan diesel kini semakin licik menggunakan fleet card milik syarikat atau individu tertentu bagi mendapatkan bekalan diesel bersubsidi sebelum dijual semula kepada sektor industri pada harga lebih tinggi.

“Kita melihat ada pemilik fleet card yang sengaja menyerahkan kad mereka kepada sindiket. Ini bukan kesalahan kecil kerana ia melibatkan pengkhianatan kepada sistem subsidi kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast