Jimmy Puah Wee Tse

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri digesa segera menilai semula mekanisme agihan bantuan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4 yang didakwa menyusahkan penerima.

Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, agihan perlu mengutamakan kaedah pindahan bank dan menggunakan saluran rasmi bagi penyampaian maklumat.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu berkata, proses tersebut juga perlu bebas daripada unsur politik dan kembali kepada tujuan asal iaitu membantu rakyat yang memerlukan.

Beliau berkata, pelaksanaan BKJ Fasa 4 yang melibatkan pemberian bantuan sekali bayar kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas sepatutnya dipermudahkan.

“Rakyat bukan sahaja memerlukan bantuan, tetapi memastikan bantuan itu benar-benar sampai kepada mereka.

“Pusat Khidmat Parlimen Tebrau sejak kebelakangan ini menerima banyak maklum balas daripada golongan warga emas berkenaan kesukaran dan ketidakselesaan dalam proses tuntutan bantuan.

“Difahamkan bahawa notifikasi bantuan sebelum ini tidak disalurkan melalui talian rasmi kerajaan sebaliknya menggunakan nombor telefon peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jimmy berkata, kaedah itu menimbulkan kebimbangan dalam keadaan kes penipuan yang semakin berleluasa ketika ini.

Jelasnya, ramai warga emas menganggap panggilan tersebut sebagai scam dan tidak berani menjawab lalu terlepas tempoh tuntutan dan gagal menerima bantuan yang sepatutnya.

Dakwanya, keadaan tersebut bukan sahaja menunjukkan kelemahan daripada segi pelaksanaan tetapi juga mencerminkan kekurangan dalam reka bentuk mekanisme agihan bantuan.

Sekiranya kerajaan negeri mampu mengenal pasti penerima melalui pangkalan data STR, maka secara prinsipnya terdapat keupayaan untuk menyalurkan bantuan secara terus melalui pindahan bank, katanya.

Namun ujar beliau, pendekatan semasa yang mewajibkan warga emas hadir ke dewan orang ramai untuk menerima bantuan secara tunai bukan sahaja membebankan pergerakan, malah boleh menimbulkan kesesakan dan persoalan berkaitan ruang untuk eksploitasi politik.

“Saya ingin menegaskan bahawa dasar yang benar-benar berteraskan kebajikan rakyat harus mempermudah proses, mengurangkan halangan dan meningkatkan akses bukan sebaliknya,” katanya.

Kerajaan negeri memperuntukan RM138 juta untuk BKJ Fasa 4 yang dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 600,000 Bangsa Johor di seluruh negeri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast