Mohd Asna Amin

SEREMBAN – Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mohd Asna Amin menegaskan beliau menerima dan menghormati pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menafikan wujud sebarang cadangan untuk menukar Menteri Besar Negeri Sembilan.

Ini meskipun selepas parti itu mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mohd Asna yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berkata, keputusan kepimpinan tertinggi parti perlu dihormati demi memastikan kestabilan politik negeri dan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.

Menurutnya, dalam keadaan rakyat berdepan cabaran kos sara hidup dan tekanan ekonomi ketika ini, semua pihak perlu meletakkan kepentingan rakyat mengatasi sebarang perbezaan politik.

Sami’na wa atho’na… Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin di kalangan kamu,” katanya menerusi kenyataan sambil memetik Surah An-Nisa ayat 59.

Beliau berkata, sebagai seorang Islam yang berpegang kepada sunah Nabi Muhammad SAW, menjadi tanggungjawab untuk terus mentaati kepimpinan parti dalam meneruskan agenda pembangunan negeri dan negara.

Katanya, rakyat pada hari ini mahukan kestabilan, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi yang lebih mampan serta kerajaan yang mampu menyelesaikan isu kehidupan harian mereka.

“Sebagai wakil rakyat, tanggungjawab kami bukan sekadar berpolitik, tetapi memastikan kebajikan rakyat terus dijaga, pembangunan berjalan lancar dan perpaduan masyarakat sentiasa dipelihara.

“Rakyat tidak mahu melihat pertelingkahan politik yang berpanjangan kerana akhirnya mereka yang akan menerima kesannya,” ujarnya.

Beliau berkata, kerjasama yang diteruskan ketika ini penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri tidak terganggu selain memberi keyakinan kepada pelabur dan rakyat.

Sebelum ini, UMNO Negeri Sembilan menegaskan akan terus menyokong pentadbiran kerajaan negeri di bawah Kerajaan Perpaduan, namun mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor berkata, keputusan mengekalkan kerjasama itu dibuat demi menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negeri.

Ahmad Zahid berkata, pendirian UMNO itu bukan hanya melibatkan UMNO Negeri Sembilan semata-mata, sebaliknya turut dipersetujui kepimpinan pusat parti.

Menurutnya, UMNO bukan menolak kepimpinan kerajaan negeri secara keseluruhan, namun parti itu tidak akan menyokong sebarang campur tangan dalam urusan melibatkan undang-undang adat di Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

Tiada cadangan tukar MB N. Sembilan, UMNO hanya tarik sokongan – Zahid

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast