JOHOR BAHRU – Bantahan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu jelas memperlihatkan sikap tidak konsisten Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah berkata, ia kerana apabila PH melaksanakan dan mempertahankan pelantikan ADUN lantikan di Sabah, Pahang dan Melaka itu dianggap sebagai langkah demokratik dan progresif.
“Namun apabila Johor mempertimbangkan pendekatan sama demi kepentingan negeri, tiba-tiba ia dituduh mencemarkan demokrasi. Inilah sikap ‘dulu buat lain, sekarang cakap lain’.
“PKR sendiri mempunyai ADUN lantikan di Sabah dan Pahang manakala DAP pernah menyokong kuota wanita bagi ADUN lantikan di Sabah.
“Jadi mengapa apabila Johor mahu melaksanakannya, terus dijadikan isu politik,” soalnya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, hari ini, isu ADUN lantikan dijadikan modal serangan politik sedangkan mereka yang pernah melaksanakan dan mempertahankan pendekatan sama sebelum ini.
Hakikatnya cadangan Kerajaan Negeri Johor dibuat mengikut lunas Perlembagaan dan mendapat perkenan Istana Johor.
Tujuannya ujar Md Israk, jelas iaitu memperkukuh institusi legislatif negeri, membuka ruang kepada golongan profesional serta memperkasa kestabilan pentadbiran negeri.
“PKR Johor boleh berbeza pendapat tetapi jangan bersikap double standard. Jangan bila PH buat dianggap reformasi tetapi bila Kerajaan Negeri Johor buat dianggap salah,” katanya.
Tambahnya, rakyat Johor bijak menilai siapa yang benar-benar konsisten dan siapa yang hanya bermain politik murahan demi kepentingan diri.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima ADUN lantikan dan undian untuk RUU tersebut memperoleh majoriti dua pertiga.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang membentangkan RUU tersebut, tujuannya juga untuk memperluas penyertaan pelbagai golongan dalam proses penggubalan dasar negeri.
Jelasnya, langkah itu bukan bertujuan politik semata-mata, sebaliknya memberi ruang kepada individu yang mempunyai kepakaran tertentu dan pengalaman luas untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.
Sebelum itu, Dr Zaliha menggesa kerajaan negeri menangguhkan cadangan pindaan perlembagaan negeri bagi membolehkan pelantikan sehingga lima ADUN tambahan sambil menuntut proses libat urus yang lebih menyeluruh dan telus.
“Sebarang perubahan kepada komposisi Dewan Negeri perlu dilaksanakan dengan penuh kebertanggungjawaban serta mengambil kira implikasi jangka panjang terhadap keseimbangan kuasa dan integriti institusi legislatif,” ujar Dr Zaliha.- MalaysiaGazette
















