Rohsawal Nizam bersama penerima dalam Majlis Program Bantuan Kasih Johor Puteri Wangsa di Laman Tiram Event Space, Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Kenyataan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain yang menggesa rakyat menghukum UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang kerana gagal mentadbir Johor adalah keterlaluan dan dakwaan yang tidak berasas.

Pengerusi Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Rohsawal Nizam Abd Ghafar berkata, pelbagai usaha dan inisiatif sudah dilakukan malah masih diteruskan kerajaan Johor sehingga kini.

“Ini bagi mengurangkan beban kos sara hidup penduduk terutamanya golongan rentan. Contohnya dengan menganjurkan Jualan Kasih Johor di seluruh negeri.

“Kita sentiasa memahami keperluan rakyat antaranya menerusi jualan seumpama ini yang menawarkan barangan asas dengan harga yang rendah.

“Kebiasaannya jualan ini memang menerima sambutan memberangsangkan dan ia akan diadakan secara berterusan di lokasi berhampiran penempatan golongan berpendapatan rendah termasuk di kawasan flat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Program Bantuan Kasih Johor Puteri Wangsa di Laman Tiram Event Space, Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman.

Sebelum ini Zuhan dilaporkan berkata, UMNO dan BN perlu dihukum dalam PRN sebagai satu mesej terhadap kegagalan mereka mentadbir dan memahami keperluan rakyat.

Zuhan berkata, antara faktor utama perlu ditolak adalah ketidakprihatinan UMNO dan BN terhadap masalah ekonomi rakyat yang semakin meruncing ketika kos sara hidup terus meningkat.

Sementara itu, pada program yang sama seramai 112 bakal haji serta 23 wakil pengurusan sekolah menerima bantuan di program berkenaan

Rohsawal berkata, kerajaan negeri menerusi inisiatif Jualan Kasih Johor menawarkan 60,000 barangan asas dengan harga rendah bagi membantu golongan rentan di bandar raya ini menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Secara keseluruhannya sebanyak 20,000 set barangan asas iaitu Pakej Kombo Kasih Johor akan ditawarkan mulai Mei hingga akhir Jun depan di DUN berkenaan.

Katanya, pakej berkenaan merangkumi tiga jenis barangan iaitu seekor ayam, 2 kilogram minyak masak dan sepapan telur ditawar dengan harga serendah RM15.

Menurutnya, usaha berkenaan bertujuan membantu penduduk terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang terjejas akibat ketidakstabilan ekonomi global.

Jelasnya, program jualan akan dianjurkan termasuk di tapak pasar malam Felda Ulu Tebrau pada 17 Mei, parkir Masjid Puteri Wangsa (23 Mei), tapak di Jalan Nibong 17 di Taman Daya (24 Mei).

Malah jualan juga akan diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara (5 Jun), Balai Raya Kampung Baru Sri Aman (6 Jun) dan Dewan Raya Kampung Maju Jaya (7 Jun).

“Bilangan set kombo yang akan dijual bergantung kepada kepadatan penduduk di sesebuah kawasan,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast