Ahmad Maslan mengadakan lawatan ke Pasar Pagi Benut, di pekan Benut, Pontian, hari ini.

PONTIAN – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Johor Bahru pada Isnin ini antaranya membincangkan berkenaan strategi memperkukuhkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini adalah kali pertama mesyuarat MKT diadakan di Ibu Pejabat UMNO Johor selepas berlangsung di Melaka pada bulan lalu.

Ahli MKT UMNO itu berkata, mesyuarat itu bukan sekadar memperingati sejarah penubuhan 80 tahun parti itu, sebaliknya memilih Johor sebagai lokasi mesyuarat kerana mempunyai signifikan tersendiri kerana UMNO dilahirkan di negeri ini pada 11 Mei 1946 di Istana Johor.

“Kita berada di Johor untuk mengingati bahawa UMNO lahir di Istana Johor. Jadi sempena memperingati tarikh 11 Mei 1946.

“Selepas itu, mesyuarat MKT di Johor akan diadakan dengan memberi fokus kepada persediaan menghadapi PRN Johor yang dijangka berlangsung sama ada tahun ini atau tahun depan.

“Apabila MKT diadakan di Melaka, fokusnya tentulah kepada PRN Melaka. Apabila di Johor, tumpuannya kepada PRN Johor,” katanya.

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian mengadakan lawatan ke Pasar Pagi Benut di pekan Benut di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, kehadiran pimpinan tertinggi UMNO ke Johor membuktikan keseriusan parti dalam memperkukuhkan gerak kerja dan persediaan jentera di negeri berkenaan.

Sebelum ini, UMNO turut mengadakan mesyuarat MKT di Sabah sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi pilihan raya negeri tersebut.

“Sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Johor, saya mengalu-alukan kehadiran Ahli MKT ke Johor,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast