Platform laluankerjaya.com inisiatif Cabang Keadilan Sungai Siput kini boleh diakses.

SUNGAI SIPUT – Cabang Keadilan Sungai Siput di sini tampil memperkenalkan platform digital LaluanKerjaya.com sebagai inisiatif membantu pelajar sekolah dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menentukan hala tuju pendidikan serta kerjaya yang lebih tepat.

Ketua Cabang Keadilan Sungai Siput, K Novinthen berkata, platform berkenaan diwujudkan bagi memberi panduan kerjaya yang lebih mudah diakses khususnya kepada golongan muda yang masih mencari arah selepas tamat persekolahan.

Menurut beliau, ramai pelajar masih keliru dalam memilih bidang pengajian sehingga ada yang akhirnya tersalah membuat keputusan dan menanggung kos tinggi.

“LaluanKerjaya.com dibangunkan untuk membantu pelajar mengenal pasti minat, kecenderungan dan kekuatan diri mereka sebelum memilih laluan pendidikan atau pekerjaan.

“Kita mahu anak muda membuat keputusan yang lebih yakin dan terarah berdasarkan personaliti masing-masing,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ketua Cabang Sungai Siput yang baharu, Novinthen Krishnan.

Beliau berkata, platform tersebut menyediakan ujian personaliti RIASEC secara percuma yang hanya mengambil masa kira-kira tiga minit untuk diselesaikan.

Katanya, menerusi ujian itu pengguna akan menerima kod personaliti unik berserta cadangan kerjaya dan kursus pengajian yang bersesuaian dengan diri mereka.

Novinthen berkata, Cabang Keadilan Sungai Siput melihat pendekatan digital seperti itu penting dalam membantu generasi muda memahami potensi sebenar mereka selaras dengan kehendak semasa pasaran pekerjaan.

Menurutnya, inisiatif berkenaan juga diharap dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran belia dengan memastikan graduan memilih bidang yang benar-benar sesuai dengan minat serta kekuatan masing-masing.

“Ramai anak muda sebenarnya mempunyai bakat dan potensi besar, namun tidak mendapat panduan yang tepat sejak awal.

“Sebab itu Cabang Keadilan Sungai Siput tampil dengan platform yang lebih mudah, cepat dan mesra pengguna supaya manfaatnya boleh dinikmati lebih ramai masyarakat,” katanya.

Beliau berharap LaluanKerjaya.com dapat terus berkembang sebagai platform rujukan kerjaya yang membantu lebih ramai pelajar dan belia merancang masa depan mereka dengan lebih jelas dan teratur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast