KUALA LUMPUR – Syarikat milikan penuh Bumiputera, VFive Group mengorak langkah baharu dalam agenda transformasi korporat menerusi penubuhan dua anak syarikat iaitu VFive Healthcare dan VFive Energy.
Langkah strategik itu diumumkan sempena sesi townhall syarikat yang berlangsung di Wisma VFive Group dengan penyertaan seluruh warga kerja termasuk kakitangan cawangan lain secara maya.
Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, penubuhan kedua-dua entiti berkenaan menjadi sebahagian daripada pelan pengembangan syarikat bagi memperluaskan penglibatan dalam sektor bernilai tinggi dan berimpak masa depan.
Menurutnya, VFive melihat sektor kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui sebagai antara industri yang memiliki potensi pertumbuhan besar sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian kesihatan berkualiti, pembangunan lestari serta agenda peralihan tenaga hijau di peringkat domestik dan global.
“Penubuhan VFive Healthcare dan VFive Energy bukan sekadar peluasan perniagaan, tetapi langkah strategik jangka panjang syarikat dalam membina nilai baharu yang mampu memberi impak kepada ekonomi, industri dan kesejahteraan masyarakat.
“Kami percaya masa depan sesebuah organisasi tidak lagi hanya bergantung kepada kekuatan perniagaan tradisional semata-mata, tetapi juga keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan global serta meneroka sektor strategik baharu,” katanya.

Beliau berkata, VFive Group turut komited membangunkan model perniagaan yang bukan sahaja memberi nilai komersial kepada syarikat, malah mampu menyumbang kepada agenda pembangunan negara khususnya dalam aspek kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi baharu dan pembangunan lestari.
Penubuhan VFive Healthcare dijangka memberi fokus kepada pembangunan ekosistem kesihatan moden termasuk penyelesaian penjagaan kesihatan, kesejahteraan dan teknologi berkaitan industri perubatan.
Sementara itu, VFive Energy akan menumpukan kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta penyelesaian tenaga lestari selari dengan aspirasi negara dalam memperkukuh agenda kelestarian dan peralihan tenaga hijau.
Langkah terbaharu itu turut dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha pengembangan agresif VFive Group yang sebelum ini telah meneroka sektor pembangunan hartanah dan konsesi bagi mempelbagaikan portfolio strategik syarikat.
VFive Group optimis pendekatan transformasi berkenaan mampu memperkukuhkan kedudukannya sebagai syarikat Bumiputera progresif dan kompetitif dalam landskap ekonomi masa depan negara. – MalaysiaGazette
















