JOHOR BAHRU – Titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengenai cadangan 25 peratus hasil cukai kepada Johor sebagai langkah tepat demi masa depan negeri berkenaan.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, Johor sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara berhak menerima pulangan lebih adil bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, sektor perindustrian, pelabuhan, logistik, pelancongan dan perdagangan antarabangsa yang berkembang pesat di Johor banyak menyumbang kepada ekonomi negara.
Bagaimanapun ujar beliau, pada masa sama Johor turut berdepan peningkatan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Pemulangan sebahagian hasil cukai ini penting supaya kerajaan negeri mempunyai keupayaan kewangan lebih kukuh untuk mempertingkat infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam.
“Ia juga selaras dengan semangat federalisme yang lebih seimbang antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kedudukan Johor sebagai pintu selatan negara dan negeri yang sedang pesat membangun memerlukan kerjasama lebih adil antara kedua-dua pihak dalam memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat secara langsung.
Beliau turut menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor tanpa mengira fahaman politik supaya bersama-sama menyokong titah tersebut untuk kepentingan negeri.
Katanya, dengan majoriti 52 ADUN kerajaan yang terdiri daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dalam jajaran kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, usaha merealisasikan tuntutan tersebut sewajarnya dapat dilaksanakan segera.
“Johor bukan sahaja penyumbang besar kepada ekonomi negara, tetapi juga wajar menikmati pulangan yang setimpal demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri,” katanya.- MalaysiaGazette
















