KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Armada Bersatu Bahagian Parit, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin menyifatkan tindakan pemecatan keahliannya sebagai satu keputusan tidak konsisten dan seolah-olah pilih kasih.
Beliau yang baru sahaja menerima notis pemecatan di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu, meluahkan rasa kecewa terhadap kriteria penilaian Lembaga Disiplin parti yang didakwa tidak mempunyai garis panduan yang jelas dalam menjatuhkan hukuman.
Menurutnya, terdapat jurang perbezaan yang amat ketara dalam keputusan yang membabitkan ahli-ahli lain, walaupun didakwa atas kesalahan atau aduan yang serupa.
“Bayangkan, hampir kebanyakan yang menerima surat (tindakan disiplin) atas dakwaan atau aduan yang sama, tetapi keputusan Lembaga Disiplin berbeza-beza.
“Sahabat saya di Bersatu Bahagian Parit didakwa atas perkara yang sama hanya diberi amaran, walaupun dia tidak membalas notis tunjuk sebab.
“Sebaliknya, saya yang membalas notis tersebut pula dikenakan hukuman paling berat iaitu pecat,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Wan Meor turut membandingkan nasibnya dengan seorang lagi individu berjawatan Exco Armada Pusat yang didakwa atas isu yang sama, namun hanya dikenakan hukuman gantung meskipun gagal memberikan maklum balas terhadap notis parti.
“Ketidaksamarataan ini menjadi bukti parti itu kini seolah-olah sudah hilang arah dan gagal menegakkan prinsip keadilan yang diperjuangkan selama ini.
“Maknanya keputusan (Lembaga Disiplin) ini ikut sedap saja, saya sudah hilang kepercayaan kepada Bersatu,” katanya lagi.
Pemecatan Wan Meor yang berkuat kuasa serta-merta itu menambah lagi senarai pergolakan dalaman Bersatu di peringkat akar umbi, terutamanya melibatkan sayap pemudanya.
Ditanya mengenai rayuan dalam tempoh 14 hari, Wan Meor berkata tidak akan merayu dan kekal menerima pemecatan tersebut. – MalaysiaGazette
















