Pengerusi Teras Ekonomi, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 MEI 2026

Oleh: Ismail Hashim Yahaya

KENYATAAN tokoh korporat Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Tahir bahawa rakyat Malaysia khususnya masyarakat Melayu tidak boleh lagi sekadar menunggu bantuan untuk keluar daripada kemelut ekonomi telah mencetuskan perbincangan yang luas dalam wacana awam di media sosial. Beliau menyatakan segelintir masyarakat Melayu masih terperangkap dalam “mentaliti menunggu bantuan”, dan sikap tersebut perlu digantikan dengan keberanian untuk mengambil inisiatif sendiri serta bersaing dalam ekonomi yang semakin mencabar.

Katanya, orang Melayu tidak patut terus menyalahkan sistem luaran semata-mata atas kesukaran ekonomi mereka, tanpa berdepan dengan kelemahan dan kekurangan komuniti itu sendiri. “Jika kita kata kita rasa tak senang (dengan kelemahan kuasa ekonomi orang Melayu), saya rasa tidak lengkap jika kita tidak muhasabah diri. Kita mesti sedar, kita juga ada kelemahan. Muhasabah diri sangat penting sebelum melangkah ke hadapan,” kata Syed Zainal.

Kenyataan tersebut disampaikan dalam sesi meja bulat Musyawarah Nasional mengenai isu-isu Melayu. Sebagai tokoh yang pernah menerajui syarikat automotif nasional seperti Proton dan Perodua, pandangan beliau tentunya mempunyai autoriti tersendiri dalam wacana pembangunan ekonomi Melayu. Pengalaman panjang dalam dunia korporat menjadikan pandangannya sering dilihat sebagai suara dari dalam sistem ekonomi negara.

Namun kenyataan tersebut tidak seharusnya dibaca secara literal atau difahami hanya sebagai persoalan mentaliti semata-mata. Dalam perspektif naratif dan makna sosial, kenyataan seperti ini sebenarnya mencerminkan satu cara tertentu untuk menjelaskan masalah ekonomi masyarakat iaitu melalui naratif moral tentang sikap dan mentaliti.

Naratif ini menekankan bahawa perubahan sikap individu merupakan kunci kepada mobiliti ekonomi. Ia memberi mesej bahawa masyarakat perlu berani mengambil risiko, berusaha keras dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan. Dalam banyak keadaan naratif seperti ini memang mempunyai nilai motivasi yang penting.

Namun realiti ekonomi sering kali lebih kompleks daripada sekadar persoalan sikap individu. Hakikat di peringkat akar umbi menunjukkan bahawa ramai rakyat berdepan tekanan ekonomi yang semakin meningkat. Kos sara hidup terus meningkat, pertumbuhan gaji bergerak perlahan, harga rumah semakin sukar dicapai oleh golongan muda, subsidi semakin disasar dan peluang pekerjaan berkualiti tidak berkembang seiring dengan kenaikan kos kehidupan.

Dalam keadaan seperti ini, tidak semua individu yang berdepan kesukaran ekonomi boleh dilabel sebagai mempunyai “mentaliti menunggu bantuan”. Ramai sebenarnya ingin berdikari, memulakan perniagaan atau meningkatkan taraf hidup mereka melalui usaha sendiri.

Pada masa yang sama kita juga tidak boleh menafikan bahawa pelbagai bentuk bantuan kerajaan telah membantu ramai individu memulakan langkah dalam bidang keusahawanan. Pelbagai skim pembiayaan, latihan dan sokongan institusi telah membuka ruang kepada sebahagian masyarakat untuk membina perniagaan dan meningkatkan mobiliti ekonomi mereka.

Terdapat usahawan yang benar-benar memanfaatkan bantuan tersebut dengan baik. Dengan pengurusan yang cekap dan disiplin yang tinggi, mereka berjaya membangunkan perniagaan yang stabil dan akhirnya menyumbang kepada ekonomi negara. Namun realitinya juga menunjukkan terdapat segelintir pihak yang menyalahgunakan bantuan tersebut atau gagal menguruskan peluang yang diberikan. Keadaan ini sering dijadikan contoh dalam perbahasan awam sehingga kadangkala menimbulkan persepsi bantuan hanya melahirkan budaya kebergantungan.

Tetapi menilai keseluruhan masyarakat hanya berdasarkan kes terpencil seperti ini juga merupakan pendekatan yang tidak seimbang. Dalam banyak keadaan, cabaran sebenar yang dihadapi oleh usahawan kecil bukan sekadar soal bantuan atau modal permulaan. Mereka juga berdepan dengan struktur ekonomi yang lebih besar termasuk akses kepada pasaran, rangkaian perniagaan dan rantaian bekalan yang sering dikuasai oleh pemain sedia ada.

Dalam beberapa sektor ekonomi, kewujudan rangkaian kartel atau monopoli tidak rasmi sering disebut sebagai antara cabaran utama yang menyukarkan kemasukan pemain baharu. Apabila akses kepada kontrak, pengedaran atau projek tertentu dikuasai oleh kelompok yang mempunyai jaringan kuasa atau hubungan lama, usahawan baharu mungkin berdepan laluan yang jauh lebih sukar untuk berkembang.

Di sinilah perbahasan tentang ekonomi Melayu perlu dilihat melalui kerangka lebih luas yang bukan sahaja dari sudut mentaliti masyarakat tetapi juga daripada perspektif struktur ekonomi dan naratif politik. Dalam banyak sistem politik, bantuan kepada rakyat bukan sekadar dasar ekonomi tetapi juga sebahagian daripada naratif legitimasi kuasa. Bantuan dilihat sebagai bukti bahawa negara melindungi rakyat dan membantu golongan yang memerlukan.

Namun pada masa yang sama, naratif bantuan juga boleh mewujudkan hubungan kebergantungan antara rakyat dan kuasa politik. Ini menjadikan perbahasan tentang “mentaliti bantuan” sering bersifat paradoks: sistem politik mengekalkan naratif bantuan sebaliknya masyarakat pula dikritik kerana bergantung kepada bantuan tersebut.

Oleh itu, memperkasa ekonomi masyarakat tidak boleh hanya tertumpu kepada seruan perubahan mentaliti. Ia juga memerlukan pembaharuan terhadap struktur ekonomi yang membentuk peluang dalam masyarakat. Antara perkara yang sering dibangkitkan termasuklah keperluan untuk memperkukuh ketelusan dalam sistem ekonomi, membanteras rasuah, mengurangkan monopoli atau kartel dalam sektor tertentu serta membuka ruang persaingan yang lebih adil kepada usahawan baharu.

Apabila sistem ekonomi lebih telus dan kompetitif, mereka yang benar-benar ingin berdikari akan mempunyai ruang yang lebih luas untuk berkembang. Dalam konteks ini, kenyataan yang menekankan perubahan mentaliti sebenarnya boleh dilihat sebagai sebahagian daripada peringatan yang penting. Namun perubahan mentaliti sahaja tidak mencukupi tanpa pembaharuan terhadap struktur ekonomi yang mempengaruhi akses kepada peluang.

Akhirnya, persoalan sebenar bukan sekadar sama ada masyarakat Melayu mahu berdikari atau tidak. Persoalan yang lebih mendasar ialah sejauh mana sistem ekonomi dan politik benar-benar membuka ruang kepada mereka yang ingin berdikari untuk berjaya. Apabila rasuah diperangi, kartel ekonomi dikurangkan dan akses kepada peluang ekonomi dibuka secara lebih telus, kebergantungan kepada bantuan akan berkurang secara semula jadi. Dalam keadaan sedemikian, masyarakat bukan sahaja mampu berdikari malah berupaya membina kekuatan ekonomi yang lebih mampan untuk generasi akan datang.

Ismail Hashim Yahaya

Penulis adalah mantan ahli akademik yang kini menumpukan perhatian sebagai pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa, dengan minat khusus menafsir dinamika isu semasa melalui pendekatan naratif dan semiotik politik.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast